AM

WAN AZIZAH LUANG MASA HADIRI USRAH MADANI BERSAMA 300 PESERTA DI KPWKM

17/07/2025 05:00 PM

PUTRAJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meluangkan masa hampir dua jam menghadiri program Usrah MADANI yang diadakan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini.

Majlis ilmu itu menampilkan ulama terkenal dari United Kingdom, Syeikh Dr Mohammad Akram Nadwi yang menyampaikan usrah bertajuk Peranan Wanita Dalam Bidang Keilmuan dan Pembinaan Negara.

Ketibaan Wan Azizah, yang juga merupakan Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) pada pukul 2.30 petang disambut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, serta Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Maheran Jamil.

Program kerjasama antara KPWKM, Puspanita cawangan KPWKM dan Pejabat Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu disertai kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada warga KPWKM dan JPM.

Dalam sesi tersebut, Syeikh Mohammad berkongsi pandangan mengenai peranan wanita dalam keilmuan Islam dan pembinaan negara, menegaskan bahawa Islam memberikan ruang yang luas untuk wanita aktif menyumbang dalam masyarakat.

Beliau merujuk kepada Saidatina Khadijah, isteri Nabi Muhammad SAW, sebagai contoh teladan wanita yang bukan sahaja berjaya dalam perniagaan tetapi juga menjadi penyokong kuat Nabi pada tahun-tahun awal Islam.

“Peranannya melambangkan kepercayaan dan pemberdayaan yang diberikan kepada wanita dalam sejarah Islam. Beliau adalah wanita yang bijaksana, berani dan berwibawa,” katanya.

Syeikh Mohammad turut menekankan galakan kepada wanita untuk menuntut ilmu, menyertai aktiviti komuniti, serta memainkan peranan kepimpinan, sambil menegaskan bahawa sekatan budaya dalam sesetengah masyarakat tidak boleh dianggap sebagai tuntutan agama.

Beliau berkata wanita di Malaysia bernasib baik kerana mempunyai akses lebih baik kepada pendidikan agama dan penyertaan awam berbanding negara lain yang sering menghadapi sekatan budaya.

Syeikh Mohammad juga menyatakan kesediaannya membantu Malaysia dalam membangunkan program pendidikan dan kurikulum khusus untuk wanita dalam bidang hadis, fatwa dan cabang ilmu Islam yang lain.

“Insya-Allah, saya boleh membantu dan menjadi sebahagian usaha ini dengan membimbing cara membangunkan kurikulum untuk meningkatkan ilmu dan kepakaran wanita dalam bidang tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan