AM

MALAYSIA PERKENAL PENEMUAN ULUNG HEART2MISS DIPACU AI PADA KONGRES KEGAGALAN JANTUNG ESC

18/07/2025 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Penemuan terkini menerusi program saringan kegagalan jantung Heart2Miss dari Malaysia dibentangkan pada Kongres Kegagalan Jantung anjuran Persatuan Kardiologi Eropah (ESC) pada 18 Mei 2025 di Serbia.

Perkembangan itu sekali gus menandakan kemajuan besar dalam pengesanan awal kegagalan jantung menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Disokong oleh AstraZeneca Malaysia, inisiatif itu menggunakan teknologi canggih analisis ultrabunyi jantung oleh Us2.AI dan dilancarkan pada Jun 2024, dengan mendapat sokongan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian.

Menurut kenyataan AstraZeneca, keberkesanan program berkenaan dibuktikan menerusi saringan terhadap 1,000 pesakit berisiko tinggi dalam tempoh setahun, menyaksikan 120 kes positif berjaya dikenal pasti melalui model triage ultrabunyi jantung pantas berasaskan komuniti.

“Pendekatan ini memanfaatkan kepakaran lulusan biosains yang kurang diguna pakai sebagai 'sonographers' mudah alih komuniti sekali gus mengurangkan beban pusat rawatan tertiari serta mempertingkatkan rujukan pesakit dan pengurusan pesakit luar.

“Selain itu, ia membolehkan intervensi lebih awal serta mewujudkan peluang kerjaya baharu dalam bidang diagnostik kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Perlaksanaan program berkenaan di Hospital Umum Sarawak (HUS) telah memperkemas proses rujukan dan penjagaan pesakit luar dengan ketara selain mengurangkan tempoh menunggu janji temu daripada sembilan bulan kepada hanya beberapa hari di klinik kesihatan berdekatan.

Principal Investigator Heart2Miss Dr Diana Hui-Ping Foo berkata inisiatif berkenaan membuktikan keupayaan menggabungkan inovasi dengan elemen kesaksamaan melalui penerapan AI-echo (Us2.AI), telekesihatan dan pertukaran tugas bagi membolehkan pengesanan awal kegagalan jantung di peringkat komuniti.

“Dengan melatih graduan biosains sebagai pengimbas echo mudah alih dan memperkenal lapisan penjagaan perantaraan, kita dapat mengukuhkan sokongan penjagaan primer dan mengurangkan tekanan terhadap perkhidmatan kardiologi tertiari,” kata Foo yang juga Penyelidik Klinikal HUS merangkap Ketua Makmal Fisiologi Manusia.

Dr Diana Foo menerajui kajian itu bersama Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal HUS Dr Alan Fong dan kerjasama dengan AstraZeneca Malaysia ini diiktiraf sebagai model perkongsian awam swasta dalam usaha meningkatkan hasil kesihatan.

Program Heart2Miss memperkasakan penyedia penjagaan primer untuk mengesan kegagalan jantung lebih awal, termasuk dalam kalangan individu berisiko tinggi yang belum menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal. 

Ia juga memaikan peranan penting dalam memperkukuh sistem kesihatan negara sejajar dengan usaha global untuk mempertingkatkan diagnosis awal serta mengintegrasikan teknologi AI dalam amalan klinikal.

-- BERNAMA

 

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut. 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan