JENAYAH & MAHKAMAH

BOT NELAYAN DIUBAH SUAI TANPA KEBENARAN, LIMA KRU WARGA THAILAND DITAHAN

18/07/2025 07:47 PM

KOTA BHARU, 18 Julai (Bernama) -- Sebuah bot nelayan tempatan bersama lima kru disyaki warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan semalam kerana gagal mematuhi syarat lesen bot serta tiada dokumen perjalanan yang sah. 

Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata bot berkenaan ditahan oleh anggota APMM yang menjalankan rondaan rutin menerusi Op Damai, Op Naga Barat dan Op Tiris pada kedudukan kira-kira 24 batu nautika dari muara Tok Bali.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas bot nelayan tersebut mendapati tangki penyimpanan minyak telah diubah suai tanpa kebenaran, yang melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985.

“Selain itu, kesemua lima kru termasuk tekong berumur antara 34 hingga 64 tahun gagal mengemukakan visa permit bekerja dan dokumen pasport yang sah, dan mereka disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Erwan Shah berkata bot itu pada awalnya dikesan dalam keadaan mencurigakan sedang bersauh kira-kira 2 petang sebelum dihampiri oleh anggota penguat kuasa untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan maritim Malaysia.

“APMM akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi oleh semua pihak yang beroperasi di perairan negara,” katanya.

Erwan Shah turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sebarang aktiviti jenayah atau insiden di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di 09-7780070.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan