PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun Tahun 2025 (DPT BLN6/2025) boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 16 Ogos ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata DPT BLN6/2025 yang diperaku semalam dan diwartakan hari ini mengandungi 40,510 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Jun yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
"Selain itu, ia mengandungi 9,836 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,791 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Khairul Shahril berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.
Beliau berkata kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian semakan pendaftaran pemilih di talian 03-8892 7218.
Beliau menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Jun 2025 serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya, kategori pengundi atau status supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN6/2025.
"Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN6/2025, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan," katanya.
Khairul Shahril berkata pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang ingin membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian berkenaan boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian sama atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri.
Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN6/2025.
Sebarang pertanyaan berkaitan semakan DPT BLN6/2025 boleh diajukan kepada SPR melalui portal rasmi atau talian hotline SPR di 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.
-- BERNAMA