KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Pasaran sedang menunggu pengumuman kerajaan mengenai langkah fiskal pada minggu ini berikutan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan inisiatif yang bakal diumumkan sebagai "penghargaan luar biasa" bagi meringankan tekanan kos sara hidup, kata CIMB Investment Bank Bhd.
Menurut bank pelaburan itu, kenaikan gaji penjawat awam yang telah diumumkan lebih awal pada 2024 berjumlah RM10 bilion pada tahun ini dan RM8 bilion pada 2026 serta peningkatan bantuan tunai yang lebih tinggi sebanyak RM23 bilion pada 2026 melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bertujuan untuk membiayai perbelanjaan pada 2026.
“Kami berpendapat perbelanjaan ini sebahagiannya diimbangi oleh kutipan hasil tambahan daripada pelaksanaan e-invois, cukai karbon dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selain rasionalisasi perbelanjaan operasi (subsidi bahan api dan elektrik),” katanya dalam laporan Treasury and Markets Research.
Mengenai bon, CIMB Investment Bank berkata pergerakan hasil bon kerajaan Malaysia pada minggu lepas secara umumnya mengikut kadar faedah teras, dengan kecenderungan yang lemah sehingga pertengahan minggu.
Katanya keadaan ini memandangkan pasaran menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengekalkan pendekatan tunggu dan lihat berikutan terdapat isyarat bahawa kesan tarif telah mula mempengaruhi harga pengguna pada Jun.
Bagaimanapun katanya perkhidmatan hasil dalam negeri (IRS) yang lebih rendah kemudiannya mendorong kenaikan harga bon kerajaan tempatan.
Selain itu, katanya data awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2025 yang diumumkan pada Jumaat adalah mengejutkan, dengan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi iaitu 4.5 peratus tahun ke tahun, disokong oleh sektor perkhidmatan serta aktiviti perayaan bermusim.
Mengenai terbitan baharu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 07/55 30 tahun, bank pelaburan itu berkata permintaan adalah lebih rendah daripada jangkaan, sekali gus menggambarkannya sebagai kurang mendapat sambutan bagi tender awam berjumlah RM3 bilion, yang turut disertai dengan tambahan RM2 bilion melalui tawaran saham persendirian.
“Lelongan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) 04/35 10 tahun yang dijadualkan pada 21 Julai 2025 akan menawarkan RM5 bilion bagi lelongan yang selaras dengan jangkaan kami, menjadikan jumlah belum dijelaskan sebanyak RM10 bilion bagi siri ini, yang baru sahaja menjadi penanda aras GII 10 tahun pada April,” katanya.
-- BERNAMA