Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Penubuhan Infrastruktur Blok Rantai Malaysia (MBI) yang diterajui MIMOS Bhd bertujuan merangsang kemajuan digital Malaysia dengan menggalakkan penyepaduan digital serta penyatuan infrastruktur blok rantai.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS Dr Saat Shukri Embong berkata MBI menyatukan pelbagai blok rantai dalam satu antara muka (interface) yang membolehkan pengguna mengakses dan menjalankan transaksi merentasi pelbagai platform.
Menurut beliau, objektif utama MBI iaitu membolehkan setiap pengendali blok rantai menyertai satu sistem bersatu yang serasi dari segi teknologi di semua peringkat.
“Visi kami dengan MBI untuk mencipta satu platform yang membolehkan setiap orang mengambil bahagian dan menjadikan sistem ini lancar iaitu dari segi erti kata lain ia boleh beroperasi di antara satu teknologi kepada teknologi lain, daripada satu pengendali kepada pengendali lain serta daripada satu sistem kepada sistem lain.
“Dengan MBI, kami dapat membangunkan aktiviti baharu untuk membantu kerajaan dan perniagaan memanjangkan aliran masa hadapan yang seterusnya akan merangsang lebih banyak ekonomi dan menarik pemain baharu,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan MBI pada Minggu Blok Rantai Malaysia (MBW) 2025 di sini hari ini.
Platform tersebut dilancarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang semasa perasmian MBW 2025.
Menurut Chang, MBI seiring dengan Pelan Hala Tuju Blok Rantai Nasional 2021-2025 yang digariskan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan akan meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam infrastruktur digital yang boleh dipercayai.
“MBI akan memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia dengan mewujudkan tulang belakang digital yang dipercayai dan boleh beroperasi, meningkatkan kecekapan dan keselamatan merentas pelbagai sektor industri.
“MOSTI kekal komited dalam merangka dan melaksanakan dasar serta inisiatif dengan kerjasama Kementerian Digital bagi memastikan penerapan teknologi blok rantai secara lebih meluas dalam sektor utama negara seperti pentadbiran kerajaan, kewangan, perbankan, industri halal selain perdagangan dan rantaian bekalan,” katanya menerusi ucaptama beliau.
Sementara itu, Saat menjelaskan iaitu MIMOS sedang bekerjasama rapat dengan rakan perintisnya iaitu Zetrix dan Masverse bagi menyediakan inisiatif ini yang akan berfungsi sebagai platform agregator serta menyatukan ekosistem blok rantai pelbagai dalam satu antara muka.
“Diharapkan menjelang akhir tahun ini, kita boleh mempunyai platform bersama. Tanpa penyatuan penuh, kita tidak akan benar‑benar memahami cabaran yang dihadapi.
“Kita bermula dengan satu sistem dan akan bina dari situ dan akhirnya, kita berharap dapat mewujudkan rangka kerja bersatu yang boleh digunakan oleh semua,” kata beliau.
-- BERNAMA