EKONOMI

TARIF AS TERHADAP MALAYSIA BOLEH DIKURANGKAN KEPADA 11-15 PERATUS - CGS INTERNATIONAL

21/07/2025 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Cadangan tarif sebanyak 25 peratus ke atas eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) boleh dikurangkan kepada 11 peratus hingga 15 peratus sekiranya perjanjian perdagangan boleh dicapai antara kedua-dua negara, kata CGS International.

Dalam nota penyelidikan hari ini katanya unjuran itu berdasarkan andaian bahawa Malaysia berjaya merundingkan perjanjian perdagangan dengan AS dan pengurangan tarif yang diberikan adalah setanding dengan yang diterima oleh Vietnam atau Indonesia.

Tarif Vietnam dikurangkan daripada 46 peratus kepada 20 peratus manakala tarif Indonesia turut direndahkan daripada 32 peratus kepada 19 peratus.

“Anggaran kami adalah kepada kadar yang lebih tinggi daripada julat ini memandangkan tarif 10 peratus dilihat sebagai kadar minimum walaupun bagi negara yang AS mempunyai lebihan dagangan. AS mempunyai defisit perdagangan sebanyak US$24.9 bilion (US$1 = RM4.24) dengan Malaysia pada 2024,” katanya.

CGS International berpendapat Malaysia berada dalam kedudukan geopolitik yang lebih baik dengan AS untuk mencapai perjanjian.

“Pertama, aktiviti pemindahan (ke kapal) yang menyalahi undang-undang kurang berlaku di Malaysia berbanding Vietnam. Selain itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada masa ini menjadi pengeluar tunggal Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) bagi semua penghantaran ke AS.

“Ini adalah langkah yang diambil oleh Malaysia untuk mengelakkan pemindahan dari negara lain yang berusaha untuk memintas tarif AS,” katanya.

CGS International berkata Malaysia hanya "negara rakan" dalam BRICS dan bukan ahli penuh.

“Walaupun Vietnam berdepan dakwaan penghantaran menyalahi undang-undang yang dikaitkan dengan China (yang kini dikenakan tarif 40 peratus sekiranya dikesan), dan Indonesia adalah ahli BRICS (Trump telah memberi peringatan untuk mengenakan tarif ke atas blok ini), kedua-dua negara ASEAN ini masih berjaya mendapat pengurangan tarif,” katanya.

Sekiranya senario ini tidak berlaku, CGS International berkata senarai pengecualian itu menawarkan penampan, mengurangkan bahagian eksport AS yang terdedah kepada tarif Malaysia bagi Keluaran Dalam Negara Kasar daripada 12.4 peratus kepada 6.7 peratus.

“Kami mengekalkan sasaran akhir tahun KLCI pada paras 1,670,” katanya.

Presiden AS Donald Trump telah menghantar surat kepada 28 negara sejak 7 Julai, dengan menetapkan kadar tarif “baharu” masing-masing yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan