ALOR GAJAH, 21 Julai (Bernama) -- Pertandingan Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) dilihat bukan sekadar pentas pertandingan sebaliknya mampu menjadi platform membina jati diri dan semangat patriotik dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan berkata program dwitahunan itu juga mampu memperkukuh pemahaman sejarah tanah air serta menyemai rasa cinta kepada negara dan nilai perpaduan dalam kalangan peserta.
Beliau berkata sebanyak tujuh sekolah menyertai edisi kali ini dan pemenang akan mewakili negeri itu di peringkat kebangsaan.
"Pertandingan ini adalah antara medium penting dalam membentuk generasi muda berjiwa patriotik dan menghargai kemerdekaan.
"Kita berharap pertandingan ini dapat diperluas ke peringkat pelajar institusi pengajian tinggi selain bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan yang lain,” katanya kepada pemberita di Kompleks Penyayang Alor Gajah di sini hari ini.
Fairul Nizam berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Pertandingan Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku 2025 yang turut dihadiri Pengarah JaPen Melaka Ab Rasil Hajatil.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan penganjuran itu juga membuktikan penubuhan Kelab Malaysiaku di sekolah masih relevan dan efektif dalam menyampaikan mesej kenegaraan kepada generasi muda.
“Setakat ini, 46 daripada 178 sekolah menengah di Melaka mempunyai Kelab Malaysiaku dan kita perlu gandakan usaha untuk memperluas penubuhannya ke lebih banyak sekolah dengan sokongan pihak sekolah, komuniti serta agensi kerajaan,” katanya.
Pada pertandingan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang piala iringan serta wang tunai RM1,000 diikuti naib johan SMK Malim (RM700) manakala di tempat ketiga, SMK Durian Tunggal (RM500).
-- BERNAMA