KOTA BHARU, 22 Julai (Bernama) -- Kelantan melalui Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan telah menerima lebih RM12.6 juta kutipan hasil royalti hidroelektrik sejak tahun 2022 hingga 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata kutipan hasil itu diterima daripada empat projek yang sedang beroperasi ketika ini dan menjana hasil untuk kerajaan negeri.
Beliau berkata empat projek hidroelektrik yang masih beroperasi tersebut adalah di Sungai Kenerong serta Sungai Rek, Ulu di Kuala Krai, Pergau di Jeli dan Sungai Brooke di Gua Musang.
"Jumlah keseluruhan hasil royalti yang diterima sejak 2022 hingga 2024 daripada projek-projek yang beroperasi ini lebih RM12.6 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kamaruzaman Mohamad (PAS-Gual Periok) yang bertanya mengenai jumlah hasil royalti hidroelektrik diterima kerajaan negeri setakat ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
-- BERNAMA