Oleh Ahmad Idzwan Arzmi & Suraidah Roslan
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- “Satu-satunya jalan ke hadapan adalah melalui perpaduan. Negara Islam dan bukan Islam mesti bersatu dan mengambil tindakan bersama terhadap pencerobohan Israel demi menyokong rakyat Palestin,” kata Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi.
Beliau menggesa masyarakat antarabangsa agar meredakan ketegangan dan menangani krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, ketika penduduknya kini berdepan kebuluran akibat sekatan berterusan Israel.
Krisis berkenaan memerlukan usaha kolektif dan diselaraskan daripada semua negara, tanpa mengira agama atau kedudukan geopolitik bagi memberi tekanan kepada Israel supaya membuka sempadan dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan segera, katanya.
“Kami percaya semua negara, terutamanya negara Islam dan negara membangun perlu bersatu dan mengambil langkah konkrit,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di Kedutaan Iran di sini, Rabu.
Valiollah turut menyifatkan perpecahan dalam kalangan negara Islam sebagai penghalang utama kepada kemajuan bermakna dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin, sambil menambah bahawa meskipun wujud platform seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ia masih belum memberikan hasil yang nyata.
Menyentuh mengenai program nuklear Iran, beliau menegaskan semula komitmen jangka panjang negaranya terhadap Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), sambil menekankan bahawa Iran secara konsisten menolak senjata nuklear.
Beliau berkata, semua aktiviti nuklear Iran adalah untuk tujuan aman, termasuk dalam bidang tenaga, perubatan dan pertanian.
“Iran merupakan antara pengasas NPT dan sentiasa menekankan bahawa negara-negara di Asia Barat harus kekal sebagai zon bebas senjata nuklear dan bersatu untuk tujuan aman.
“Satu-satunya negara di rantau ini yang memiliki senjata nuklear ialah Israel,” katanya.
Valiollah berkata, pendirian Iran berasaskan prinsip Islam yang mengharamkan senjata nuklear, serta kepercayaan praktikal bahawa senjata sedemikian adalah tidak perlu dan tidak boleh digunakan.
Beliau turut menggesa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) agar memainkan peranan lebih menyokong, khususnya dalam membantu negara-negara membangun.
Berhubung sekatan ekonomi yang masih dikenakan terhadap Iran, Valiollah berkata negaranya kekal terbuka untuk bekerjasama rapat dengan negara-negara lain yang turut berdepan sekatan serupa, termasuk melalui kerangka kerjasama BRICS yang turut disertai Iran dan Malaysia.
-- BERNAMA