AM

PENGHARGAAN RAKYAT: TEPAT PADA MASANYA, REDA TEKANAN KOS SARA HIDUP - PAKAR

23/07/2025 09:58 PM

Oleh Sakini Mohd Said dan Yasmin Ahmad Zukiman

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Khabar gembira yang dinantikan rakyat sejak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan memberi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia akhirnya terjawab hari ini, membawa sinar harapan serta cerminan keprihatinan kerajaan dalam menjiwai denyut nadi rakyat.

Tidak berdolak-dalik dalam membina masa depan lebih adil dan sejahtera buat rakyat sebagaimana komitmen Kerajaan MADANI sejak awal pentadbiran, langkah signifikan yang diumumkan Perdana Menteri pagi tadi, disifatkan pakar sebagai pendekatan tepat pada masanya. 

Bagi pakar yang dihubungi Bernama, pengumuman itu dilihat mereka bukan sahaja sebagai isyarat jelas akan kepekaan kerajaan terhadap keluh-kesah rakyat yang terkesan dengan cabaran kos sara hidup, akan tetapi juga sebagai usaha memacu keyakinan dan kestabilan ekonomi negara pada waktu mencabar ini.

Mengulas mengenainya, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM) Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata beberapa pendekatan yang diumumkan Anwar dilihat membawa manfaat besar kepada rakyat khususnya dalam meredakan tekanan kos sara hidup yang semakin mencengkam.

Beliau berkata langkah itu hadir pada masa yang genting ketika rakyat berdepan dengan inflasi makanan, harga rumah tinggi, kadar faedah pinjaman yang membebankan serta ketidaktentuan ekonomi global.

“Sebarang langkah kerajaan untuk meringankan beban rakyat wajar disambut baik. Pengumuman ini datang pada waktu yang kritikal.

“Pengumuman Perdana Menteri hari ini sememangnya boleh membawa manfaat besar dan melegakan rakyat dalam jangka pendek terutama dalam menangani tekanan kos sara hidup,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran televisyen utama serta platform media sosial hari ini, mengumumkan beberapa ikhtiar segera dalam meringankan beban sara hidup serta sebagai penghargaan dan meraikan rakyat.

Ini antaranya, pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan harga RON95 lebih rendah pada harga RM1.99 seliter.

Anwar turut memaklumkan tiada kenaikan bil elektrik kepada majoriti pengguna domestik Semenanjung Malaysia susulan penstrukturan semula tarif elektrik yang berkuat kuasa bulan ini. Bahkan sebanyak 85 peratus pengguna domestik menikmati penurunan bil elektrik sehingga 14 peratus bagi Julai 2025 untuk penggunaan sama, berbanding enam bulan pertama tahun ini.

Awang Azman berkata pengumuman bersifat bantuan langsung atau ‘one-off’  sangat diperlukan yang dianggap dasar campur tangan sementara menunggu pengumuman atas dasar kerajaan yang lebih konkrit dalam bentuk belanjawan tahunan negara mahupun Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan datang yang lebih baik dan menyeluruh serta besar.

Ia juga sebagai kecaknaan Perdana Menteri yang lebih berorientasikan keperluan rakyat sebenar dari semasa ke semasa.

“Langkah ke depan ialah ia bukan sekadar memberi kelegaan sementara akan tetapi dijangka diperluaskan dalam konteks belanjawan dan RMK13 nanti yang menyentuh akar masalah seperti ketidakpadanan upah dengan kos hidup, keperluan perumahan mampu milik dan pengukuhan jaringan keselamatan sosial,” katanya.

Beliau berkata isu ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan juga perlu diberi perhatian agar manfaat yang diumumkan benar-benar sampai kepada mereka yang layak.

“Keberkesanan bukan sahaja pada isi kandungannya tetapi juga pada pelaksanaannya. Adakah mekanisme pemantauan cukup telus untuk elak ketirisan? Dalam konteks kerajaan MADANI, integriti dan kecekapan pelaksanaan adalah ujian sebenar terhadap niat baik dasar ini, supaya ia benar-benar sampai ke akar rumput rakyat,” katanya

Dalam pada itu, Pengarah Program MBA & DBA Putra Business School (PBS) Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pengumuman bantuan itu menunjukkan kerajaan begitu cakna akan suara rakyat apabila menyalurkan bantuan segera tanpa perlu menunggu pembentangan Belanjawan 2026.

“Ini satu bentuk bantuan yang disegerakan kepada individu dan mereka yang memerlukan tanpa perlu menunggu pengumuman belanjawan tahun hadapan. Walaupun inflasi rendah, realitinya masih ramai yang memerlukan bantuan secara langsung,” katanya.

Menolak tanggapan pengumuman itu bersifat populis semata-mata, beliau berkata menariknya dengan pengumuman kali ini apabila bantuan tunai turut memberi manfaat kepada golongan M40 yang sebelumnya sering kali disalah anggap terpinggir dalam pemberian bantuan.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata berita gembira yang diumumkan Perdana Menteri dilihat sebagai kesinambungan kepada beberapa insentif dan bantuan yang telah diperkenalkan Kerajaan MADANI sebelum ini bagi memastikan rakyat terus menerima manfaat secara langsung dan berterusan.

"Saya percaya ini bukan penghujungnya. Ada beberapa fasa yang akan turut dibuat selepas ini mengikut kedudukan dan kemampuan kerajaan ketika itu," kata pensyarah sosiologi politik kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) berkenaan.

Walaupun ada yang melihat pengumuman itu sebagai langkah bersifat jangka pendek, Sivamurugan berkata ia tetap memberi impak besar kerana dilaksanakan ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi.

Mengambil contoh pengumuman harga RON95 yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan kelak, beliau berkata ia membuktikan Perdana Menteri mengotakan janji.

“Kalau kita rujuk kepada penjenamaan Perdana Menteri di media sosial beliau sebelum pengumuman dibuat, ia ketara menjurus kepada harga minyak yang memang dinantikan orang ramai. 

"Walaupun penurunannya kecil tetapi mempunyai impak besar kerana beliau cuba memenuhi satu daripada janji yang pernah dikemukakan dan dinantikan rakyat,” katanya.

Sivamurugan berkata keupayaan kerajaan menyeimbangkan keperluan semasa rakyat dengan pengurusan fiskal negara menunjukkan pendekatan inklusif yang mengutamakan kesejahteraan rakyat tanpa mengabaikan kedudukan kewangan negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan