KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) giat memperkasa keupayaan anti-dron susulan peningkatan penggunaan ancaman teknologi itu dalam konflik peperangan moden.
Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata penggunaan dron kini dilihat sebagai satu ancaman serius berikutan kosnya yang rendah serta keberkesanannya dalam misi ketenteraan.
“Kita dapat lihat keberkesanannya dalam peperangan moden. Justeru, TUDM perlu ada strategi untuk melindungi diri daripada serangan sedemikian dan membangunkan keupayaan anti-dron yang efektif,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Perintah Ulung Panglima TUDM ke-21 di Pangkalan Udara Subang, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata Markas Pemerintahan Operasi Udara sedang mengenal pasti jumlah sistem yang diperlukan serta lokasi untuk penempatannya.
“Sistem ini berskala kecil, tidak seperti ‘Iron Dome’ atau ‘Golden Dome’. Namun, kita perlu pastikan ia ditempatkan di pangkalan kritikal bagi melindungi lokasi strategik sekiranya berlaku serangan,” katanya.
Sementara itu, mengulas perolehan pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) ANKA buatan Turkiye, beliau berkata TUDM dijangka menerima sistem itu pada Disember ini.
“Pesawat telah selesai menjalani fasa pengujian dan akan diserahkan kepada TUDM bersama sistem sokongan berkaitan. Ketika ini, anggota TUDM sedang menjalani latihan di Turkiye dan kita menerima kerjasama yang baik daripada pihak pengeluar serta juruterbang,” katanya.
TUDM memperoleh tiga unit ANKA MALE-UAS menerusi kontrak yang dimeterai antara Kementerian Pertahanan dan Turkish Aerospace Industries (TAI) semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23).
-- BERNAMA