DUNIA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI SUSULAN SENTIMEN BERHATI-HATI

25/07/2025 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan susut 0.73 peratus ketika sentimen berhati-hati mendorong pelabur mengurangkan kedudukan masing-masing menjelang akhir minggu ini.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 11.23 mata kepada 1,529.09 daripada 1,540.32 pada akhir sesi semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.60 mata pada 1,538.66 dan bergerak dalam julat 1,525.98 hingga 1,539.82 sepanjang sesi pagi.

Sentimen pasaran secara menyeluruh juga kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 569 berbanding 270 manakala 405 kaunter tidak berubah, 1,282 tidak diniagakan, dan 44 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.02 bilion unit bernilai RM1.09 bilion.

Dalam nota penyelidikannya, Malacca Securities Sdn Bhd berkata terdapat aliran kenaikan bagi sektor-sektor terpilih, khususnya yang berkaitan dengan utiliti dan infrastruktur pusat data.

Firma pembrokeran itu berkata pelabur mempunyai pilihan untuk mengumpul saham perbankan bagi pegangan jangka panjang, walaupun kadar dasar semalaman (OPR) telah diturunkan baru-baru ini.

Menurutnya, Indeks Kewangan Bursa Malaysia telah mengalami penyusutan kira-kira 10 peratus daripada paras tertingginya pada tahun ini.

Malacca Securities menyenaraikan Malayan Banking Bhd, AMMB Holdings Bhd dan RHB Bank Bhd sebagai pilihan menarik, didorong oleh hasil dividen yang kukuh.

Bagi sektor pengguna, Malacca Securities berkata pengumuman bantuan tunai RM100 dan penangguhan kenaikan tol dan penyasaran subsidi bahan api RON95 dijangka merangsang perbelanjaan pengguna dalam jangka pendek yang berpotensi memberi manfaat kepada kaunter berteraskan runcit seperti 99 SpeedMart, Ecoshop dan MR DIY.

Saham berwajaran tinggi menyaksikan Maybank turun lapan sen kepada RM9.55, Public Bank rugi tiga sen kepada RM4.28, Tenaga Nasional merosot 46 sen kepada RM13.80 manakala CIMB naik empat sen kepada RM6.74.

IHH Healthcare dan CelcomDigi masing-masing menokok satu sen kepada RM6.60 dan RM3.84.

Bagi saham aktif, NexG dan Velesto masing-masing meraih satu sen kepada 52.5 sen dan 19 sen, Lotte Chemical susut setengah sen kepada 70 sen manakala Zetrix dan Focus Dynamics tidak berubah pada 91.5 sen dan satu sen.

Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas turun 68.58 mata kepada 11,482.59, Indeks FBMT 100 susut 69.61 mata kepada 11,244.95 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 79.25 mata kepada 11,244.95.

Indeks FBM 70 turun 46.06 mata kepada 16,612.81 manakala Indeks FBM ACE susut 18.58 mata kepada 4,623.93.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 58.67 mata kepada 17,446.91, Indeks Perladangan turun 54.85 mata kepada 7,415.11 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.32 mata kepada 156.84 manakala Indeks Tenaga naik 3.05 mata kepada 741.73. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan