DUNIA

MALNUTRISI JEJASKAN TUMBESARAN KANAK-KANAK DI LAOS

25/07/2025 03:13 PM

PHNOM PENH, 25 Julai (Bernama) -- Laos sedang berdepan dengan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak, dengan hampir 44 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami tumbesaran terbantut.

Menurut laporan Vientiane Times, terdapat kira-kira 385,000 kes seumpama itu di negara berkenaan, dengan 20 peratus kanak-kanak Laos sudah sudah terbantut seawal usia enam bulan.

Menurut Tinjauan Petunjuk Sosial Laos, hampir dua juta penduduk di Laos, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mengalami pelbagai bentuk kekurangan zat makanan.

“Malnutrisi kronik kekal sebagai kebimbangan utama, dengan 35.6 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun menunjukkan tanda-tanda kekurangan zat makanan jangka panjang,” menurut laporan itu.

Kemiskinan makanan dalam kalangan kanak-kanak di rantau Asia Tenggara telah menjadi isu mendesak, sebahagian besarnya disebabkan oleh kemiskinan dan akses kepada makanan berkualiti di kawasan pedalaman.

Laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) tahun lepas bertajuk “Child Food Poverty: Nutrition Deprivation in Early Childhood,” mendedahkan bahawa kualiti diet yang rendah menyumbang kepada malnutrisi kanak-kanak di Asia Tenggara.

“26 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami tumbesaran terbantut, lebih separuh mengalami kekurangan mikronutrien dan berat badan berlebihan serta obesiti kanak-kanak menjadi kebimbangan yang semakin meningkat,” kata UNICEF.

Menurut laporan itu, satu daripada empat kanak-kanak di seluruh dunia hidup dalam kemiskinan makanan kanak-kanak yang teruk pada awal usia, melibatkan kira-kira 180 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

“Kemiskinan makanan kanak-kanak yang teruk mendorong kepada kekurangan zat makanan kanak-kanak. Prevalens kemiskinan makanan kanak-kanak yang teruk adalah tiga kali lebih tinggi di negara-negara dengan prevalens kanak-kanak terbantut yang tinggi,” kata agensi global itu.

Di Laos, kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk menangani isu kesihatan awam itu, dengan menyasarkan untuk mengurangkan kadar bantut kanak-kanak sebanyak 25 peratus menjelang 2030.

“Kerajaan berhasrat untuk mewujudkan populasi yang lebih sihat dengan menangani punca utama malnutrisi dan memastikan kanak-kanak diberi peluang untuk membesar, belajar dan menyumbang kepada masa depan negara,” lapor Vientiane Times.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan