AM

RASIONALISASI SUBSIDI RON95, KPDN BERSEDIA SEBARANG KEMUNGKINAN PENYALAHGUNAAN

25/07/2025 04:09 PM

ALOR SETAR, 25 Julai (Bernama) -- Pemantauan yang proaktif akan dilaksanakan di semua stesen minyak bagi memastikan tiada ruang penyalahgunaan oleh pengguna ketika pembelian petrol bersubsidi RON95 apabila rasionalisasi bahan api itu dilaksanakan kelak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pihaknya menjangkakan pelbagai kemungkinan boleh berlaku, yang memerlukan pegawai penguat kuasa lebih peka dalam pemeriksaan.

“Tentu sekali kita harus bersikap proaktif, sebagai contoh sekiranya kereta warga asing dengan nombor pendaftaran asing yang memang tak boleh beli minyak subsidi, tapi katakanlah tiba-tiba mereka guna MyKad. Jadi, perlulah peka sikit oleh pegawai-pegawai itu, mungkin ada salah guna dan sebagainya.

“Jadi, maksudnya pihak KPDN memang telah melihat kemungkinan-kemungkinan ini semua. Mungkin satu MyKad diguna berulang-ulang kali itu antara perkara-perkara yang kita peka dan kita fikir untuk mengatasinya,” katanya selepas menyertai pemeriksaan Op Kesan 4.0 di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Beliau berkata penggunaan MyKad bukan sahaja memastikan subsidi dinikmati rakyat Malaysia, tetapi juga akan membolehkan kerajaan menjejaki pembelian ‘luar biasa’ atau pengisian petrol RON95 melebihi had bagi satu kenderaan.

Fuziah berkata menerusi rekod pembelian, ia dapat membantu pihak berkuasa mengesan pembelian bahan api itu secara luar biasa dan tindakan boleh diambil.

“Jika individu tentu sekali kegunaannya sekian-sekian, kalau mereka beli lebih daripada sekian-sekian untuk satu kereta, tentu sekali kita akan peka tentang perkara ini. Jadi, secara tak langsung ini akan mengekang ketirisan sebab dia kena guna MyKad.

“Jadi, tak bolehlah nak beli lebih sebab kita boleh kesan jika MyKad diguna setiap hari pagi petang siang malam dan sebagainya berdasarkan rekod yang ada dalam sistem,” katanya.

Mengulas mengenai Op Kesan 4.0 yang dilaksana susulan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lepas, Fuziah berkata sebanyak 950 premis diperiksa yang melibatkan 3,965 unit simpanan stok (SKU) di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 950 Notis Pemakluman Maklumat Barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dikeluarkan dan 23 aduan diterima untuk siasatan lanjut.

Op Kesan 4.0 dilaksanakan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah atau melakukan pencatutan menggunakan SST sebagai alasan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan