AM

PM ANWAR MINTA KKM PERCEPAT PENGISIAN LEBIH 4,000 JAWATAN DOKTOR DI FASILITI KESIHATAN - FAHMI

25/07/2025 05:25 PM

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Kesihatan (KKM) mempermudah proses birokrasi bagi mempercepat pengisian 4,352 perjawatan di fasiliti kesihatan, termasuk lantikan doktor kontrak, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata isu perjawatan itu dibangkitkan Anwar dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.

“Perdana Menteri meminta supaya proses birokrasi yang dilihat mungkin menyebabkan kelewatan ini dipercepat, memandangkan pada asalnya KKM menjangkakan kebanyakan atau kesemua jawatan tersebut hanya akan dapat diisi menjelang November.

“Tapi Perdana Menteri berpandangan ini terlalu lewat. Jadi akan dipercepat proses tersebut,” katanya pada Sidang Media Mingguan, di sini hari ini.

Fahmi berkata pengisian perjawatan itu perlu dipercepat kerana ada keperluan mendesak untuk mengisi lebih 4,000 kekosongan di sektor kesihatan.

Beliau berkata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah memberikan komitmen bahawa proses pengisian perjawatan itu akan diringkaskan tanpa menjejaskan dari segi prosedur dan akan disegerakan.

Rabu lepas, Anwar pada Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia berkata kerajaan akan menyegerakan pengisian 4,352 perjawatan di fasiliti kesihatan, termasuk lantikan doktor kontrak pada tahun ini kerana ada keperluan mendesak terhadap sektor penjagaan kesihatan dalam negara.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan