JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN MOHON TAMBAH PEGAWAI, ANGGOTA TINGKAT PENGUATKUASAAN

25/07/2025 08:26 PM

KOTA  BHARU, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah membuat permohonan untuk menambah bilangan pegawai dan anggota bagi meningkatkan lagi penguatkuasaan dasar-dasar baharu kerajaan.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Aris Mamat berkata permohonan itu berikutan pihaknya mempunyai kekangan anggota dan pegawai sedia ada ketika melaksanakan penguatkuasaan. 

"Tahun lepas kita ada buat tambahan lebih 200 anggota dan pegawai seluruh negara dan tahun ini kita turut memohon penambahan lagi.

"Pengambilan anggota dan pegawai ini biasanya ditentukan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam)...penambahan keanggotaan bergantung kepada waran (kuota) dan pengagihannya akan diputuskan oleh JPA." katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Inter-Agensi di Kompleks Sukan dan Belia Panji, di sini hari ini.

Beliau berkata KPDN kini mempunyai seramai 2,300 pegawai dan anggota seluruh negara namun penambahan diperlukan untuk keberkesanan penguatkuasaan di semua peringkat.

“Sebab kita mempunyai 13 akta yang memerlukan lebih ramai anggota untuk membantu kerajaan terutamanya dari aspek kawalan apabila kerajaan membuat dasar baharu," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan terus menjalin kerjasama dengan agensi lain untuk mengekang ketirisan barangan kawalan.

"Tanpa kerjasama daripada pelbagai agensi, tidak mungkin kita dapat mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan