PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Tahap kesihatan mental wanita berkerjaya di Malaysia masih terkawal berbanding negara-negara Barat, namun langkah advokasi dan intervensi awal tetap penting bagi mengelakkan tekanan menjadi lebih serius.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Nordina Haron berkata kebanyakan wanita di negara ini masih mampu mengimbangi urusan kerjaya dan keluarga walaupun berdepan cabaran emosi dalam kehidupan seharian.
“Namun kalau tidak dikawal, tekanan boleh menjejaskan emosi. Sebab itu, program intervensi seperti Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) penting, kita buat sebelum parah,” katanya kepada media pada sesi bersama PSSS YKN anjuran Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di sini.
Nordina berkata wanita berkerjaya sering berhadapan tekanan termasuk isu keluarga, tugasan kerja yang mencabar atau memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa yang uzur, lebih-lebih lagi bagi wanita yang belum berkahwin.
“Ramai juga saya jumpa wanita yang berjawatan tinggi, tidak berkahwin tetapi menjaga ibu mereka yang sakit. Kalau tidak pandai kawal stres, ia boleh ganggu kestabilan emosi juga,” katanya.
Nordina berkata YKN amat menghargai kerjasama dengan PERTAMA kerana wartawan wanita adalah kumpulan yang turut terdedah kepada beban emosi, terutamanya ketika membuat liputan kes-kes tragis atau membabitkan penderitaan rakyat.
“Isu ini kadang-kadang hanya wanita yang faham. Wartawan wanita melihat sendiri bagaimana (contohnya) ibu-ibu menangis di mahkamah kerana anak terlibat dadah atau mencuri kerana kesempitan hidup dan emosi itu mereka bawa pulang. Jadi sesi psikososial ini membantu mereka lepaskan beban itu,” katanya.
Beliau berkata PSSS kini aktif menjalankan program intervensi di seluruh negara melalui lapan unit mobil di zon tengah, utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak.
Sesi anjuran PERTAMA turut menyaksikan penyertaan lebih 30 wartawan wanita daripada persatuan itu yang menjalani saringan kesihatan mental menggunakan ujian Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS), analisis personaliti secara metafizik menerusi lukisan dan tarikh lahir, serta latihan penggunaan bola tekanan dan teknik pernafasan.
Sementara itu, Presiden PERTAMA Sariha Mohd Ali menyifatkan program berkenaan sebagai satu pengalaman luar biasa yang menyedarkan peserta mengenai pentingnya menjaga kesihatan mental.
“Kadang-kadang kita rasa sihat, tetapi sebenarnya terjejas secara dalaman. Aktiviti seperti melukis yang nampak remeh pun sebenarnya boleh bantu kenal pasti personaliti dan beban emosi. Insya-Allah kita akan rancang lagi sesi seperti ini dengan pendekatan berbeza, supaya kita dapat korek lagi apa sebenarnya ‘tanggungan’ jiwa orang media,” katanya.
Program dua hari satu malam anjuran PERTAMA yang bermula Sabtu lepas diadakan di Glamping@Wetland Putrajaya. Bertemakan rehat, refleksi dan rangkaian sokongan sesama wanita, program berkenaan turut diselitkan dengan beberapa aktiviti lasak seperti ATV yang mencabar fizikal dan membina semangat berpasukan.
Ditubuhkan pada 12 Jan 1971, PERTAMA merupakan sebuah persatuan yang menghimpunkan wartawan wanita daripada pelbagai agensi media di seluruh negara. Ia diasaskan oleh tokoh wartawan terkemuka, Allahyarham Azah Aziz.
Sejak penubuhannya, PERTAMA giat menganjurkan pelbagai program pembangunan profesional, dialog media, bengkel serta kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.
Objektif utama persatuan ini termasuk meningkatkan tahap profesionalisme, memperkukuh etika kewartawanan serta memperjuangkan hak dan kebajikan wanita dalam bidang media.
-- BERNAMA