AM

MAXIM, INDRIVE DIBERI AMARAN TEGAS PATUHI SYARAT PERKHIDMATAN - LOKE

28/07/2025 03:22 PM

ALOR SETAR, 28 Julai (Bernama) -- Dua syarikat pengendali e-hailing, Aist Malaysia Sdn Bhd (Maxim) dan ID Applications Sdn Bhd (InDrive) diberikan amaran tegas supaya mematuhi syarat perkhidmatan termasuk aspek keperluan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) untuk beroperasi di negara ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kedua-dua syarikat itu kini berada di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan dan sekiranya keperluan berkenaan gagal dipatuhi, lesen mereka boleh digantung atau dibatalkan.

“Namun, kita lihat mereka telah mengambil langkah-langkah penambahbaikan. Jadi biasanya kesalahan pertama kita bagi peluang untuk menambah baik dan memperbetulkan.

“Jadi jadi kalau mereka masih langgar syarat-syarat itu, baru kita gantung lesen ataupun kita batalkan lesen mereka,” katanya selepas melancarkan Bas.My Kota Setar di sini hari ini.

Loke berkata pihaknya memandang serius kesalahan beroperasi tanpa pematuhan terhadap keperluan EVP sebelum ini, namun kementerian pada masa sama memahami dan mengambil kira kesan kepada pemandu serta pengguna kedua-dua syarikat e-hailing terbabit.

“Jadi kalau kita tutup terus tanpa memberikan peluang kepada mereka menambah baik, maka akan ada pula penumpang yang membuat aduan,” katanya.

Pada 24 April lepas, APAD mengeluarkan Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) kepada Maxim dan InDrive berkuat kuasa 24 Julai 2025 susulan audit yang mendapati ketidakpatuhan terutama dalam aspek keperluan EVP.

Berikutan itu, kedua-dua syarikat berkenaan membuat rayuan kepada Kementerian Pengangkutan dan rayuan mereka diterima dengan perlu menjalani tempoh pemantauan selama tiga bulan bermula 24 Julai bagi memastikan syarat perkhidmatan dipatuhi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan