Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan sentimen peniaga yang terjejas berikutan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak semula keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia tahun ini.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2275/2345 berbanding dolar AS daripada 4.2195/2245 semasa ditutup pada Jumaat.
Bank pusat telah menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2025 kepada 4.0 peratus hingga 4.8 peratus daripada unjuran awal 4.5 peratus hingga 5.5 peratus, dan inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana dengan purata 1.5 peratus hingga 2.3 peratus pada 2025.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata BNM mengambil pendekatan pragmatik dengan menyesuaikan unjuran pertumbuhan yang lebih rendah, dengan mempertimbangkan risiko luaran.
Pada masa yang sama, unjuran inflasi yang lebih rendah menunjukkan kesan daripada jangkaan rasionalisasi subsidi RON95 adalah mudah untuk diuruskan.
“Oleh itu, kami menjangkakan perkara ini positif kepada ringgit dalam jangka sederhana hingga panjang berikutan konsolidasi fiskal akan terus dilaksanakan.
“Ini akan memberi ruang fiskal yang lebih luas untuk disalurkan kepada bantuan bersasar serta perbelanjaan pembangunan (DE) yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
“Pada Khamis ini, kerajaan akan mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-13, dan kami menjangkakan peruntukan yang lebih tinggi bagi DE dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memacu ekonomi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) telah mengukuh, disokong oleh keyakinan terhadap rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang akan berlangsung.
“Indeks Dolar AS meningkat sebanyak 0.5 peratus kepada 98.13 mata berikutan berita mengenai tarif AS yang dilihat positif kepada dolar,” katanya.
Pegawai AS dan China dijadualkan bertemu di Sweden hari ini, dan kedua-dua pihak dijangka melanjutkan gencatan perdagangan.
Pada penutupan dagangan, ringgit ditutup lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8497/8546 daripada 2.8529/8565 semasa ditutup pada Jumaat lepas, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6720/6814 daripada 5.6786/6853 minggu lepas, dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.9331/9412 daripada 4.9507/9566 sebelumnya.
Bagaimanapun, prestasi ringgit bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Ia hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 258.3/258.9 daripada 258.5/258.9 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2917/2974 daripada 3.2937/2978 minggu lepas, susut berbanding baht Thailand kepada 13.0511/0787 daripada 13.0268/0478 dan menyusut berbanding peso Filipina kepada 7.39/7.41 daripada 7.38/7.40 sebelumnya.
-- BERNAMA