AM

OP GASAK: KPDN MELAKA TUMPASKAN AKTIVITI PENYELEWENGAN LPG BERSUBSIDI

29/07/2025 12:05 PM

MELAKA, 29 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menumpaskan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi dianggarkan bernilai RM40,000 membabitkan gas petroleum cecair (LPG) di sebuah premis di Malim Jaya, di sini semalam.

Pengarahnya Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata dalam serbuan Ops Gasak kira-kira 7 malam itu, didapati premis berkenaan dijadikan tempat untuk menjalankan aktiviti penyiringan iaitu aktiviti pemindahan LPG bersubsidi untuk kegunaan industri, menggunakan hos penyambung yang direka khas tanpa kebenaran sah.

“Ketika serbuan, proses pemindahan gas bersubsidi 14 kilogram (kg) ke tong gas industri 50kg sedang dijalankan dan tiga lelaki warga Myanmar berumur 23 dan 24 tahun ditahan untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di premis berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas premis berkenaan menemukan 107 tong LPG bersubsidi 14kg dan 59 tong LPG 50kg serta 20 hos getah.

Mohd Hazimin berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu dan denda RM2 juta bagi syarikat.

“KPDN memberi amaran pemantauan dan penguatkuasaan akan terus diperhebat bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyeleweng barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat.

“Tindakan ini sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR yang dilancarkan pada 19 Okt 2024 dalam menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan bersubsidi,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut atau menyalurkan aduan, orang ramai boleh menghantar mesej ke WhatsApp menerusi talian 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu https://eaduan.kpdn.gov.my; pusat panggilan 1-800-886-800; Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Melaka di talian 06-2345869 (8 pagi hingga 6 petang).

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan