EKONOMI

COHERENT BUKA PUSAT R&D DATACOM BAHARU DI PULAU PINANG

30/07/2025 10:11 AM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Coherent Corp telah membuka Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Datacom yang baharu di Pulau Pinang, menunjukkan komitmen strategik syarikat untuk memberi perkhidmatan kepada pasaran globalnya yang berkembang pesat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Coherent berkata pusat R&D itu akan melengkapkan tapak pembuatannya yang lebih besar di Ipoh, Perak dan Perai, Pulau Pinang, sekali gus memaksimumkan lagi bekalan peranti transceiver (penghantar terima) dari kilang-kilang di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata apabila Coherent membangunkan teknologi transceiver optik generasi akan datang di kemudahan baharunya itu, ia pasti akan mendapat manfaat daripada kemasukan bakat yang kukuh yang sedang dibentuk melalui Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

“NSS menggariskan perancangan Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya dalam rantaian bekalan semikonduktor global. Salah satu keutamaan teras NSS adalah menyokong R&D dan teknologi canggih bernilai tinggi - menepati jenis kerja yang sedang dilakukan oleh Coherent di Pulau Pinang ini,” katanya.

Beliau berkata MIDA komited untuk menyokong perjalanan Coherent bukan sahaja pada masa lalu dan sekarang, tetapi juga pada masa hadapan.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengarah Urusan Coherent Malaysia Jimmy Ling berkata syarikat berbangga dengan kedudukan strategiknya untuk menyokong pertumbuhan secara menyeluruh.

“Penubuhan kami yang berjaya selama hampir 25 tahun telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan rantaian nilai global kami melalui rancangan pengembangan yang berterusan dan yakin kehadiran kami di Pulau Pinang akan menerajui inovasi dalam teknologi fotonik termaju,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan