JOHOR BAHRU, 31 Julai (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Ziarah Makam Diraja Johor bersempena Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar.
Berangkat sama ialah Raja Muda Johor Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail dan Tunku Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail, menurut satu hantaran berserta foto istiadat tersebut dalam Facebook rasmi baginda.
Turut berangkat Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta suami Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Istiadat Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar diadakan pada setiap tahun mengikut kalendar Hijrah, iaitu pada 6 Safar dan merupakan hari istimewa seluruh rakyat Johor bagi memperingati serta menzahirkan penghormatan kepada Almarhum Sultan-Sultan yang telah mangkat.
Selain itu, ia diadakan untuk berdoa ke hadrat Allah dan memohon limpah keampunan-Nya kepada roh mereka yang telah kembali ke rahmatullah dan dihimpunkan mereka dalam kalangan orang-orang beriman.
-- BERNAMA