KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Sambal Street 2025 yang dilancarkan hari ini bertujuan mengangkat warisan rasa tempatan dan semangat keusahawanan luar bandar melalui pelbagai jenis sambal dan produk berasaskan cili dari seluruh negara.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata sambal tempatan keluaran usahawan desa kini semakin mendapat sambutan bukan sahaja dalam negara, tetapi juga menembusi pasaran Singapura, Brunei dan Arab Saudi.
“Pasaran luar negara ini bukan semata-mata bergantung kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), sebaliknya turut digerakkan oleh inisiatif dan rangkaian perniagaan yang dibina sendiri usahawan kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambal Street 2025 di sini hari ini.
Sambal Street 2025 anjuran FELCRA Berhad turut bertujuan mempromosikan produk usahawan bimbingan FELCRA selain menonjolkan kepelbagaian sambal tradisi setiap negeri, meningkatkan nilai tambah hasil pertanian komuniti desa serta menggalakkan inovasi dalam industri makanan tempatan.
Sementara itu, usahawan, Mohd Yusof Fauzi, 45, dari Jempol, Negeri Sembilan berkata produk sambal jenama “Sambarindu” miliknya kini boleh didapati di stesen Petronas seluruh negara selain di pasaran Singapura dan Brunei.
Sambal Street 2025 menampilkan lebih 30 produk sambal hasil keluaran 16 usahawan FELCRA, yang dipasarkan melalui koperasi, stesen minyak, platform digital serta saluran eksport ke negara anggota ASEAN dan Timur Tengah.
-- BERNAMA