EKONOMI

ANUGERAH CGC 2024 RAIKAN 30 TAHUN PEMERKASAAN PMKS

01/08/2025 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) meraikan pencapaian pentingnya dengan penganjuran edisi ke-30 Anugerah CGC, menandakan usaha 30 tahunnya memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta ekosistem kewangan yang lebih luas.

Dalam satu kenyataan hari ini, CGC berkata anugerah itu mengiktiraf sumbangan cemerlang institusi kewangan (IK), kewangan Islam, kewangan pembangunan, rakan niaga strategik, agensi kerajaan dan PMKS yang berjaya.

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menekankan kepentingan menyokong PKS agar ia terus berdaya saing dan berdaya tahan dalam menempuh persekitaran ekonomi yang semakin dinamik.

“CGC dan industri kewangan memainkan peranan penting dalam membantu transformasi PKS menerusi automasi, pendigitalan, dan amalan mampan,” katanya ketika berucap pada majlis anugerah itu di sini, pada Khamis.

 Sementara itu, Pengerusi CGC Datuk Mohammed Hussein menegaskan bahawa ketahanan perniagaan bermula dengan kepimpinan yang berkesan dan pemahaman mendalam terhadap operasi.

“Ketahanan selalunya bermula dengan kepimpinan yang teguh, berteraskan pemahaman mendalam terhadap dinamik dalaman perniagaan, keperluan pelanggan, rantaian bekalan dan ekosistem yang lebih luas.

“Kemampanan perniagaan bergantung kepada kemampuan pengurusan dalam mengharungi semua keperluan tersebut, satu kecekapan yang datang daripada penglibatan aktif, bukan sekadar pemilikan pasif,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak pula menekankan peranan penting PMKS dalam memacu pertumbuhan negara.

“PMKS Malaysia adalah tulang belakang ekonomi kita, dan CGC berbangga diberi mandat untuk menyokong serta memperkasa mereka.

“Majlis Anugerah CGC tahunan ini adalah cara kami menghargai sokongan yang tidak ternilai daripada rakan strategik, di samping meraikan pencapaian PMKS Malaysia yang berdaya saing dan dinamik,” katanya.

Bagi tahun ini, CGC berkata sebanyak 28 anugerah disampaikan merangkumi tiga kategori, bukan sahaja meraikan prestasi, malah perkongsian berasaskan matlamat serta kemajuan menyeluruh ekosistem.

CGC turut memperkenalkan kategori baharu termasuk Anugerah Merdeka bagi menghargai perniagaan yang menerajui perkongsian substantif antara kaum dan komuniti, selain dua kategori baharu bagi mengiktiraf rakan strategik baharu dan kecemerlangan inovasi.

Selain itu, di bawah Anugerah Program Pembangunan CGC, kategori khas diwujudkan bagi mengiktiraf tiga pemenang PMKS yang mencatatkan peningkatan peratusan jualan tertinggi selepas menamatkan Program Pembangunan CGC: Access New Markets selama 24 bulan.

Anugerah bagi kategori kontraktor turut disampaikan, iaitu Kontraktor Berjaya (G1 dan G2) dan Kontraktor Berjaya (G3 dan ke atas), dengan enam pemenang diiktiraf atas kejayaan melaksanakan kontrak dan pertumbuhan perniagaan yang ketara.

Antara pemenang di bawah kategori Rakan IK Terunggul termasuk CIMB Islamic Bank Bhd, Alliance Bank Bhd dan Standard Chartered Bank Malaysia Bhd, manakala Anugerah Merdeka dimenangi oleh Serai Group, Keyfield International Bhd dan Mydin Mohamed Holdings Bhd.

Melangkah ke hadapan, CGC kekal komited untuk memperkukuh peranannya sebagai rakan pembangunan PMKS dengan memperluas akses pembiayaan dan sokongan perusahaan, sekali gus membolehkan mereka berkembang, berinovasi dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia yang lebih berdaya tahan dan inklusif.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan