AM

BUKAN SEKADAR 'ANAK PENEROKA', GOLONGAN MUDA FELDA MAMPU SUMBANG KEPADA NEGARA

02/08/2025 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Generasi muda Lembaga Kemajuan Tanah Persekutan (FELDA) bukan sekadar ‘anak peneroka’, sebaliknya mereka perlu dilihat sebagai peneraju masa depan yang mampu menyumbang kepada negara.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ramai anak-anak FELDA telah mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.

“FELDA satu masa nanti mampu menyumbang generasi hebat bukan hanya untuk FELDA, tetapi negara kita yang tercinta ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Warga Peneroka sempena Karnival Mega 3 Dimensi 2025 di sini hari ini, yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi FGV Holdings Bhd (FGV) Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata sebagai contoh, anak-anak FELDA dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab FELDA Trolak telah memenangi Anugerah Emas Golden Diploma Award di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech pada Jun lepas.

Beliau berkata pasukan MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) itu berjaya menewaskan tujuh kumpulan orkestra dari enam negara sekali gus membuktikan FELDA kini berada di titik era yang penting dan signifikan kepada negara.

“Dalam Malaysia ini banyak MRSM, kenapa begitu istimewa diberikan kepada MRSM Trolak? Kerana ini MRSM FELDA anak cucu FELDA … kemampuan mereka dalam disiplin Ulul Albab menghafal al-Quran dan mereka juga menjadi juara dalam pertandingan peringkat antarabangsa di Prague,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan yang sentiasa memberi bantuan serta kepada Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang sentiasa bertanyakan keperluan FELDA.

“Kepimpinan kerajaan yang memahami dan menghayati FELDA ini ialah satu perkara yang penting dan Datuk Seri sentiasa bertanya apa masalah FELDA, apa yang boleh dibantu, banyak sekali bantuan yang diberikan di bawah kementerian beliau kepada FELDA dari semasa ke semasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan