AM

PLATFORM I-MESRA TIDAK BERTINDIH DENGAN SIJIL HALAL JAKIM - RUBIAH

01/08/2025 08:23 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Platform digital i-Mesra yang berfungsi sebagai rujukan prahalal kepada usahawan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak bertindih dengan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata platform itu sebaliknya berperanan sebagai pemudah cara kepada usahawan selain mengambil kira elemen yang ditetapkan oleh JAKIM agar selari dengan prosedur pensijilan halal yang diguna pakai di peringkat Persekutuan.

“Sebenarnya pengenalan sistem i-Mesra ni juga mengambil kira keperluan yang diketengahkan oleh pihak JAKIM dan kita dah ambil kira elemen-elemen yang ada dalam JAKIM (ke) dalam sistem iMesra.

“Kebanyakannya memang menepati keperluan yang diperlukan dalam kita mendapatkan sijil halal untuk produk-produk khasnya di KKDW,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran i-Mesra di Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025), Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MiTEC) di sini hari ini.

Ditanya mengenai keengganan kerajaan Selangor untuk mengguna pakai sistem i-Mesra, beliau berkata KKDW tidak mempunyai masalah dengan keputusan tersebut namun terbuka untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara berkenaan.

“Isu kerajaan Selangor tak terima ada sistem yang lebih baik, itu tak menjadi masalah kerana apa yang kita nak, kita ada satu sistem yang boleh digunakan oleh usahawan kita dalam mempercepat mendapat proses halal itu sendiri.

“...kalau usahawan Selangor nak gunakan kaedah lain pun tak ada masalah, sebab tujuan sistem ini adalah untuk mempermudah usahawan, jadi rujukan kepada usahawan supaya produk mereka mudah untuk mendapat (pengesahan) halal berkenaan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa KKDW menerima sistem i-Mesra selepas ia diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana sistem itu didapati mesra pengguna dan sesuai digunakan oleh usahawan. 

Minggu lepas, media melaporkan kerajaan Selangor menolak pelaksanaan sistem i-Mesra sebagai platform yang berfungsi membuat pengesahan atau perakuan untuk menyemak premis makanan menggunakan bahan mentah halal atau patuh syariah.

Terdahulu, Rubiah menyaksikan majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MOC) antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFB).

Pada majlis itu, Rubiah turut mewakili KKDW bagi menerima Sijil Pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas pengiktirafan MK3D 2025 sebagai Pameran Keusahawanan Terbesar. 

MK3D 2025 menggabungkan tiga program keusahawanan utama iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD) oleh (KKDW), Sambutan Hari Peneroka FELDA (HPF) oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). 

Lebih 1,000 usahawan dan pempamer serta sejumlah 882 reruai keusahawanan telah menyertai MK3D 2025 yang merupakan inisiatif keusahawanan berskala besar yang menyatukan usahawan seluruh negara di bawah satu platform yang holistik dan inklusif.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan