PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- NanoMalaysia Bhd (NMB), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat bagi meneroka penggunaan sisa pertanian dalam menghasilkan gentian nano selulosa untuk aplikasi kejuruteraan lanjutan untuk penggunaan pasaran perindustrian dan akhir.
MoU itu dimeterai dengan SEED Tech Sdn Bhd (STSB), XMU Jiageng Education Development Sdn Bhd (XMU) dan Henan Yujian Building Renovation Technology Co Ltd (YJ).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata MoU itu menandakan visi bersama ke arah Asia yang lebih hijau, lebih inovatif, yang mana sains dan teknologi berkhidmat kepada pembangunan ekonomi serta penjagaan alam sekitar.
"Malaysia menjana kira-kira 168,000 tan sisa pertanian setiap hari, angka yang dijangka meningkat dengan permintaan makanan dan perubahan penggunaan tanah yang semakin melonjak. Namun, kurang daripada 10 peratus daripada biojisim ini dikitar semula ke dalam aplikasi perindustrian.
"Melalui kerjasama ini, kita mengetengahkan peluang ekonomi yang signifikan dengan mengubah sisa berkenaan menjadi sumber kekayaan negara selaras dengan Pelan Tindakan Bioekonomi dan Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju MOSTI," katanya semasa berucap di sini hari ini.
NMB diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi Mohamad Hafiz Zokipli; STSB oleh Pengarahnya Zhang Liang; XMU oleh Naib Presiden Xiamen University Malaysia Prof Zhang Ying dan YJ diwakili oleh Pengurus Besarnya Sun Lili.
Chang berkata Malaysia mahu meningkatkan perbelanjaan kasar ke atas penyelidikan dan pembangunan (GERD) kepada 2.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar berbanding 1.04 peratus menjelang 2030.
Perkongsian awam-swasta dan merentas sempadan seperti ini adalah tuas kritikal untuk mencapai sasaran tersebut.
Kerjasama ini menetapkan laluan bagi pengkomersialan dari pelesenan teknologi serta penjanaan harta intelektual, kepada pertukaran bakat, usaha sama dan pembangunan produk di seluruh Malaysia, China dan Asia-Pasifik yang lebih luas.
"Ia menguatkan komitmen MOSTI dalam memudahkan peralihan makmal ke pasaran, mengurangkan jurang kegagalan antara penyelidikan dan industri.
"Ianya mencerminkan peralihan kita dari ekonomi yang bergantung kepada sumber ke ekonomi yang dipacu pengetahuan, didorong oleh inovasi, dengan sokongan langsung terhadap tonggak kerajaan Malaysia Madani iaitu "Kemampanan" dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030)," katanya.
Sementara itu, satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MOSTI menjelaskan perkongsian itu memberi tumpuan kepada skala dari makmal ke pasaran untuk memanfaatkan sektor seperti pembinaan, automotif dan kejuruteraan.
Penggunaan gentian nano sebagai bahan tambahan, seperti pengukuh pengikat untuk komposit polimer, getah dan lain-lain dapat memberikan rintangan retakan antara lamina dari satu hingga 10 peratus, manakala penggunaan gentian nano sebagai pengikat mampu memberikan kekuatan struktur sebanyak 30 peratus, yang membawa kepada penjimatan sehingga 50 peratus.
Projek ini memanfaatkan kelebihan empat pihak terlibat, termasuk keupayaan penyelidikan dan pembangunan selain kepakaran industri bagi memacu hasil berimpak tinggi untuk Malaysia dan serantau.
-- BERNAMA