AM

STRUKTUR SEMULA KOPERASI FELDA UNTUK MANFAAT PENEROKA - AHMAD ZAHID

02/08/2025 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Seluruh ekosistem koperasi di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) perlu menjalani proses penstrukturan semula supaya dapat menjana keuntungan lebih memberangsangkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu kerana koperasi FELDA mempunyai pelaburan dalam pelbagai organisasi perniagaan yang berpotensi menjana pulangan sekali gus dapat disalurkan semula kepada peneroka.

“Oleh kerana koperasi mempunyai pelaburan di pelbagai organisasi perniagaan, maka langkah yang telah dibuat ialah untuk merealisasikan pegangan itu agar dapat dijual atau memberikan pulangan pelaburan (ROI) kepada koperasi ini.

“Insya-Allah, dividen tahun lepas mula dibayar, tetapi jumlahnya sedikit berbanding ketika mula-mula koperasi memberikan keuntungan yang banyak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Warga Peneroka sempena Mega Karnival 3 Dimensi di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam ucapannya berkata selain keuntungan koperasi, pengurusan FELDA juga digesa memberi perhatian terhadap isu pemilikan tanah peneroka, rumah, hutang peneroka serta capaian 5G di sebahagian besar kawasan FELDA.

“…hasrat saya, hak peneroka FELDA mesti dikembalikan sepenuhnya kepada peneroka FELDA… keuntungan harus kembali kepada mereka kerana hasil ini adalah daripada keringat mereka dan kita meminta supaya pengurusan FELDA laksanakan janji itu,“ katanya.

Pada masa sama, beliau juga berhasrat supaya akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperluas di kawasan FELDA agar dapat melahirkan generasi FELDA yang berkemahiran tinggi.

Beliau turut berkata rangkaian 5G juga harus meliputi semua kawasan FELDA di seluruh negara supaya warga peneroka dapat menikmati teknologi itu walaupun di kawasan pedalaman, selain infrastruktur jalan  kurang memuaskan seperti jalan berlubang juga perlu dinaik taraf bagi menjadikan persekitaran yang kondusif dan mampan.

“Saya tidak ada kepentingan peribadi, tidak ada kepentingan politik. Kepentingan saya adalah untuk melihat hak peneroka FELDA mesti dikembalikan kepada peneroka.

“Barulah ada kepuasan hati dalam kalangan peneroka FELDA, baik generasi pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima. Barulah FELDA benar-benar mendunia apabila kepedulian dikembalikan semula kepada para peneroka,” katanya.

Mega Karnival Tiga Dimensi yang berlangsung selama lima hari bermula 30 Julai itu menggabungkan tiga program keusahawanan utama iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD) oleh (KKDW), Sambutan Hari Peneroka Felda (HPF) oleh (Felda) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). 

Lebih 1,000 usahawan dan pempamer serta sejumlah 882 reruai keusahawanan telah menyertai karnival itu yang merupakan inisiatif keusahawanan berskala besar yang menyatukan usahawan seluruh negara di bawah satu platform yang holistik dan inklusif.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan