AM

PERAK KOMITED LAKSANA USAHA BERTERUSAN LINDUNGI SPESIS TERANCAM - EXCO

03/08/2025 10:39 AM

TAIPING, 3 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Perak menyatakan komitmen berterusan dalam usaha melindungi spesis terancam khususnya Harimau Malaya, yang menjadi ikon khazanah negara. 

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Teh Kok Lim berkata antara usaha tersebut ialah melalui peranan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS), yang bukan hanya destinasi pelancongan unggul, tetapi sebagai pusat konservasi amat penting dalam melindungi spesis terancam di negara ini.

“Harimau Malaya merupakan simbol kebanggaan negara kita. Namun realitinya hari ini, Harimau Malaya kini berada di ambang kepupusan dan tergolong sebagai spesis yang amat terancam.

“Justeru, komitmen terhadap usaha konservasi harus menjadi tanggungjawab bersama,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-64 ZTNS di sini malam tadi yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Khairul Amir Mohamad Zubir. 

Teh berkata sejajar dengan peranan ZTNS, tarikan pelancongan tersebut telah menganjurkan pelbagai program berimpak tinggi berorientasikan pendidikan dan kelestarian alam sekitar.

“Ia termasuk Program Anak Angkat Haiwan, penghasilan baja kompos, serta penglibatan aktif komuniti merupakan contoh terbaik pendekatan holistik dalam menyemai kesedaran awam terhadap pemuliharaan alam dan kesejahteraan haiwan,” katanya.

Sementara itu, Khairul Amir berkata sebagai zoo tertua di negara ini, ZTNS memainkan peranan aktif dalam pemuliharaan, termasuk pembiakan spesies terancam secara eks situ (di luar habitat asal), kerjasama dengan institusi penyelidikan serta penyertaan dalam program pemulihan dan pelepasan semula haiwan ke habitat asal.

Beliau berkata perkara itu termasuk spesies seperti Harimau Malaya, gajah Asia dan tapir, yang merupakan khazanah kebangsaan.

Sempena sambutan ulang tahun ke-64 ZTNS, beliau berkata pelbagai pengisian menarik antaranya pelancaran perkhidmatan Bas Hop-On Hop-Off (HOHO), yang menawarkan pengalaman baharu kepada pelawat meneroka tarikan utama di sekitar Bandar Taiping secara informatif.

“Melangkah ke hadapan, beberapa program menarik dan bersifat mendidik sepanjang tahun ini telah dirangka.

“Antara program utama yang bakal dianjurkan termasuklah Sambutan Hari Orang Utan Sedunia yang akan diadakan pada 30 Ogos, program tahunan Zoorama 2025 akan berlangsung dari 13 hingga 21 Sept dan Taiping Bird Week akan dianjurkan dari 10 hingga 12 Okt,” katanya.

Pada majlis sama turut diadakan pelancaran logo dan slogan baharu ZTNS bagi memperkukuh peranan zoo tersebut sebagai antara pusat konservasi penting di negara ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan