AM

MK3D BERJAYA CAPAI LEBIH SASARAN 2 JUTA PENGUNJUNG, RM6 JUTA JUALAN TUNAI

03/08/2025 10:09 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 yang diadakan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sejak Rabu lepas, berjaya mencapai sasaran utama yang ditetapkan, selain mencipta tujuh pencapaian dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Mohd Banuri Aris berkata karnival yang menghimpunkan lebih 1,000 usahawan desa itu berjaya menarik 2.1 juta pengunjung sejak bermula pada Rabu hingga 5 petang ini, sekali gus melebihi sasaran 2 juta pengunjung.

Beliau berkata MK3D yang dianjurkan menerusi kerjasama strategik FELDA, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), turut mengatasi sasaran jualan tunai RM6 juta apabila mencatatkan urusan tunai sebanyak RM6.9 juta sepanjang lima hari penganjurannya.

“Seterusnya, kita sasarkan padanan perniagaan (business matching) berjumlah kira-kira RM209 juta. Sehingga jam 5 petang tadi, kita telah menghimpunkan lebih kurang RM200 juta, namun kita yakin jumlah itu akan meningkat menjelang penutupan rasmi malam ini.

“Ini bermakna sasaran-sasaran yang telah digariskan oleh tiga pasukan dimensi ini telah pun ditepati, dan karnival ini dianggap sebagai satu kejayaan baharu dalam merangka kelestarian usahawan-usahawan Bumiputera daripada KKDW, Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI), dan juga FELDA,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Banuri berkata kolaborasi antara ketiga-tiga agensi berkenaan telah membawa kejayaan memberangsangkan dan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi keusahawanan, termasuk ekonomi hijau (green economy) dari tanah rancangan dan desa.

Beliau percaya MK3D berpotensi untuk lebih berjaya jika dapat dianjurkan semula pada masa akan datang.

“Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam mencadangkan agar program ini diadakan semula bagi memberi peluang penyertaan kepada lebih ramai usahawan Bumiputera. Insya-Allah, ia mungkin dianjurkan sempena sambutan Hari Peneroka FELDA ke-70 pada awal Julai tahun depan.

“MK3D ini memberikan nilai tambah kepada program-program yang sebelum ini dianjurkan secara solo, selain menjadi titik pertemuan para usahawan untuk memulakan langkah baharu ke arah yang lebih tinggi dan mendunia,” katanya.

Sementara itu, seramai 57 peserta “badang” bergabung untuk mencatatkan rekod MBOR bagi kategori “Most Participants in a Bus Pulling Challenge”, apabila berjaya menarik sebuah bas seberat 13 tan sejauh 20 meter pada petang tadi.

Ia merupakan antara enam pencapaian MBR oleh FELDA sempena MK3D, termasuk simfoni orkestra pertama yang melibatkan 735 pemain orkestra bergerak serentak, serta penyertaan tertinggi dalam pertandingan carom dengan lebih 1,400 pemain. KKDW pula mencatat rekod MBR bagi Penganjuran Karnival Keusahawanan Terbesar.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan