SEOUL, 3 Ogos (Bernama-Yonhap) -- Ikon bola sepak Korea Selatan, Son Heung Min mengucapkan selamat tinggal dalam suasana penuh emosi kepada peminat tempatan pada Ahad, sehari selepas mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan kelab Inggeris, Tottenham Hotspur, lapor agensi berita Yonhap.
Son, 33, diturunkan sebagai kesebelasan utama Spurs dalam perlawanan pramusim menentang Newcastle United di Stadium Piala Dunia Seoul dan bermain selama 65 minit sebelum dikeluarkan dan menerima tepukan gemuruh dan ucapan selamat tinggal penuh air mata.
Lebih 64,000 peminat membanjiri stadium berkapasiti 66,000 tempat duduk itu dalam keadaan lembap dan hujan, kebanyakannya memakai jersi ikonik “Son 7”.
Sepanduk dan sorakan memenuhi ruang stadium sebagai penghormatan kepada perjalanan sedekad bintang itu bersama kelab London berkenaan.
Son menyerahkan lilitan ketua pasukan sebelum meninggalkan padang sambil mengalirkan air mata.
Beliau memeluk rakan sepasukan, barisan kejurulatihan serta pemain Newcastle yang turut mengucapkan tahniah atas kerjayanya.
Stadium menayangkan video penghargaan ketika Son melakukan pusingan penghormatan dan melambai kepada para penyokong.
Ketua jurulatih Tottenham, Thomas Frank berkata perlawanan itu “berkemungkinan besar” merupakan penampilan terakhir Son bersama kelab itu.
Jika disahkan, Son akan meninggalkan kelab sebagai antara pemain terbaik sepanjang zaman Tottenham. Sejak menyertai kelab itu pada 2015, beliau telah menjaringkan 173 gol dalam 454 penampilan - kelima tertinggi dalam sejarah kelab.
Pada musim 2021-22, Son memenangi Kasut Emas Liga Perdana dengan 23 gol - menjadikannya pemain Asia pertama dan satu-satunya yang menerima anugerah itu.
Son turut mengetuai Tottenham menjuarai trofi pertama mereka dalam tempoh 17 tahun apabila merangkul gelaran Liga Europa UEFA pada Mei tahun ini. Beliau kini antara 13 pemain yang pernah menjulang trofi sebagai kapten kelab.
Sorakan “Nice One, Sonny!” bergema sepanjang perlawanan, dan walaupun selepas beliau digantikan, para penyokong terus menyanyikan lagu sebagai penghormatan.
Walaupun tidak menjaringkan gol dalam perlawanan itu, kehadiran Son menjadi tumpuan utama, dengan peminat teruja menyaksikan wira tempatan mereka mengenakan jersi Spurs buat kali terakhir.
Kelab itu akan meneruskan aksi pramusim dengan perlawanan menentang Bayern Munich dan Paris Saint-Germain, namun penyertaan Son masih belum pasti.
-- BERNAMA-YONHAP