AM

PROGRAM WAKIL RAKYAT UNTUK RAKYAT DUN REMBIA TUMPU KEBAJIKAN GOLONGAN SASAR - EXCO

03/08/2025 05:55 PM

ALOR GAJAH, 3 Ogos (Bernama) -- “Santuni Rakyat” menjadi tema pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia yang menumpukan kepada aspek kebajikan rakyat di DUN berkenaan.

Penyelaras DUN Rembia yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan berkata sepanjang program itu, sebanyak 530 asnaf, anak yatim, warga emas dan golongan memerlukan telah dikenal pasti untuk dibantu di bawah pelbagai bentuk bantuan atau sumbangan yang dirangka.

Beliau berkata bantuan itu akan disalurkan menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan pihak berkuasa tempatan.

"Antara program kebajikan yang akan dilaksanakan ialah ziarah kasih, baik pulih rumah serta penyampaian bantuan lain kepada mereka yang telah dikenal pasti memerlukan.

"Usaha menyantuni rakyat dilihat satu mekanisme penting agar segala isu, permasalahan, keluhan atau bantuan yang diperlukan dapat disalurkan terus kepada mereka," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis perasmian Program WRUR DUN Rembia oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman di sini hari ini.

Fairul Nizam berkata sempena Bulan Kebangsaan kali ini, Kempen Kibar Jalur Gemilang akan turut dilaksanakan sebagai satu daripada aktiviti sempena Majlis Penutup Program WRUR itu bagi memupuk semangat patrotisme dalam kalangan rakyat.

Majlis penutup program, katanya dijadual dilakukan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Dataran Keris, Alor Gajah pada 16 Ogos ini.

Program WRUR DUN Rembia yang berlangsung selama dua minggu bermula hari ini melibatkan pengisian lebih 150 program dan DUN berkenaan merupakan lokasi ketujuh daripada 28 DUN di Melaka.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan