KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) – Beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King akhirnya menamatkan penantian untuk meraih gelaran sulung Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas muncul juara Terbuka Macau, hari ini.
Dalam aksi final yang berlangsung di East Asian Games Dome, pasangan negara yang kini menghuni ranking ke-24 dunia itu mempamerkan semangat juang tinggi apabila menewaskan pilihan utama kejohanan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dalam pertarungan sengit selama 80 minit.
Wan Arif-Roy King meraih kemenangan 22-20 pada set pertama sebelum meneruskan momentum cemerlang dengan mengesahkan kejuaraan menerusi keputusan 21-18 di set kedua ke atas pasangan nombor lapan dunia itu.
Sebagai juara kejohanan berstatus Super 300 itu, Wan Arif-Roy King membawa pulang hadiah wang tunai USD29,230 (RM125,018) manakala Sabar-Moh Reza menerima USD14,060 (RM60,135) selaku naib juara.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara Jimmy Wong-Lai Pei Jing terpaksa akur gagal menjulang gelaran pertama mereka selepas tewas kepada pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dalam straight set, 13-21, 16-21.
Pasangan negara itu sebelum ini mara ke final selepas mengejutkan pilihan keenam dari Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah di separuh akhir, namun gagal mengulangi persembahan cemerlang di pentas akhir.
Dalam pada itu, nasib sama turut menimpa pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh yang terpaksa melupakan impian meraih kejuaraan pertamanya dalam Jelajah Dunia selepas tunduk kepada pilihan kelima dari Indonesia, Alwi Farhan 15-21, 5-21.
Bagaimanapun, pencapaian di Macau tetap dianggap terbaik buat Justin musim ini selepas beliau tersingkir awal dalam sembilan daripada 10 kejohanan sebelum ini.
-- BERNAMA