AM

OD ESPORTS RANGKUL KEJUARAAN MOBILE LEGENDS HPPNK 2025

03/08/2025 09:47 PM

KOTA KINABALU, 3 Ogos (Bernama) -- Pasukan OD Esports dari Papar muncul juara pertandingan e-sukan Mobile Legends NAFAS-NEKMAT sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Kejohanan yang melabuhkan tirainya hari ini menyaksikan OD Esports mengatasi 42 pasukan lain sepanjang saingan yang bermula sejak Jumaat lepas, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 berserta piala dan sijil.

Tempat kedua dimenangi pasukan Sonic The Hedgehog dari Kota Kinabalu yang menerima RM2,000, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing diraih oleh Stark Origin (RM1,000) dan Sonic Esports X (RM600).

Semua pasukan turut menerima trofi dan sijil penghargaan.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar, dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.

Turut hadir, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Muhammad Faris Arriffin serta Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Azrin Shah Ismail.

Peserta OD Esports, Adrian Adlie Ku, 21, dari Tenom, berkata kejohanan itu bukan sekadar platform pertandingan, malah menjadi medan untuk berkongsi pengalaman dan memperkasa bakat dalam arena e-sukan.

Sementara itu, Pengurus pasukan Sonic The Hedgehog, Daniel France, 32, berkata kejohanan ini wajar diteruskan kerana mampu mencungkil potensi anak muda Sabah dalam bidang e-sukan.

Majlis penutup turut menyaksikan 11 individu bertuah membawa pulang hadiah cabutan bertuah, termasuk skuter elektrik, wafer emas dan jam tangan. Pemenang hadiah utama, Wan Mohd Salleh Mahrawi, menerima sebuah motosikal.

Kejohanan kali ini merupakan edisi kedua pertandingan e-sukan HPPNK, selepas penganjuran sulungnya di Ipoh, Perak, pada 2023.

— BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan