KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Koperasi yang baharu kini berada di peringkat akhir penggubalan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Disember ini, kata kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Ewon berkata RUU tersebut bakal menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) bagi memenuhi keperluan semasa serta menyokong aspirasi pembangunan koperasi negara.
Beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menjalankan 23 sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, koperasi premier, federasi, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), universiti tempatan serta wakil pentadbiran negeri Sabah, Pulau Pinang, Johor, Pahang, dan Sarawak.
“KUSKOP menyasarkan pewartaan Akta Koperasi yang baharu dijangka pada Jun 2026 dan dikuatkuasakan pada November atau Disember tahun yang sama,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 2/2025 di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata sektor koperasi tidak akan dipinggirkan dalam perancangan kewangan negara termasuk di Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan Oktober ini.
“Bagi saya, adalah penting untuk gerakan koperasi menyuarakan input dan cadangan bajet daripada perspektif koperasi bagi memastikan Belanjawan 2026 tidak meminggirkan sektor koperasi negara,” katanya.
Mengenai MPKK, Ewon berkata ia berperanan sebagai platform strategik bagi gerakan koperasi untuk menyampaikan pandangan dan cadangan kepada kerajaan sebelum pembentukan belanjawan.
Beliau turut berkongsi kejayaan sambutan Hari Koperasi Negara 2025 (HKN’25) yang berlangsung dari 25 hingga 27 Julai lepas di Melaka dan menarik lebih 58,000 pengunjung, melebihi sasaran awal 50,000 orang.
“Program ini mencatatkan jumlah jualan koperasi dan usahawan hampir RM1.1 juta, dengan potensi jualan dianggarkan mencecah RM22 juta. Ini membuktikan bahawa koperasi dan usahawan mendapat impak ekonomi yang signifikan melalui HKN’25,” katanya.
Mesyuarat MPKK kali ini turut membentangkan satu kertas perbincangan dan dua kertas makluman. Ewon menggesa semua anggota agar terus aktif menyampaikan pandangan serta mengemukakan isu-isu koperasi yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut.
-- BERNAMA