KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) melakar sejarah dalam pendidikan digital dengan melancarkan Waqf Go Learning, sebuah platform pembelajaran berasaskan wakaf pertama di negara ini.
YWM dalam satu kenyataan memaklumkan platform itu bertujuan memperluas akses pendidikan berkualiti kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, terutama dalam kalangan keluarga B40 dan asnaf.
Platform inovatif hasil kerjasama dengan ITTV Education Sdn Bhd itu, menawarkan lebih 3,000 video pembelajaran selaras dengan sukatan Kementerian Pendidikan Malaysia serta ciri-ciri tambahan seperti kuiz interaktif dan forum tutor.
Menurut kenyataan YWM 10 peratus daripada kutipan langganan platform itu, akan disalurkan semula kepada yayasan berkenaan sebagai dana wakaf, sekali gus menjadikan model berkenaan lebih lestari dan berimpak jangka panjang.
YWM turut merancang memperluas capaian platform itu kepada pelajar tahfiz, orang kurang upaya (OKU) serta memperkenalkan modul Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta bimbingan kerjaya secara digital sebagai persediaan kerja masa depan.
“Sebagai permulaan 1,000 pelajar terawal ditawarkan akses percuma ke portal Waqf Go Learning bermula hari ini, terbuka kepada pelajar darjah empat hingga tingkatan lima,” menurut kenyataan itu.
Semua pihak termasuk agensi kerajaan, Majlis Agama Islam Negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), diundang untuk tampil sebagai rakan strategik Waqf Go Learning serta menaja pelajar asnaf dan B40 akses pendidikan lebih menyeluruh tanpa mengira kaum, bangsa atau agama.
“Orang ramai boleh mendaftar melalui laman web golearning.ywm.gov.my dan untuk maklumat lanjut layari www.ywm.gov.my serta saluran media sosial rasmi seperti Facebook dan Instagram rasmi yayasan.
-- BERNAMA