EKONOMI

MALAYSIA AKAN PERKENAL TIGA TINDAKAN SUSULAN UTAMA DALAM MENDEPANI PASCATARIF AS

05/08/2025 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) — Malaysia akan mempekenalkan tiga tindakan susulan utama iaitu program jangkauan pengeksport, pembaharuan kawal selia dan inisiatif pemetaan rantaian bekalan di seluruh negara.

Ini berikutan perjanjian rundingan semula tarif baru-baru ini dengan Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan pengurangan tarif ke atas barangan Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perjanjian yang berkuat kuasa pada 1 Ogos itu dicapai selepas “beberapa bulan rundingan yang intensif tetapi teliti serta sistematik” tanpa Malaysia berkompromi terhadap “garisan merah” dalam bidang-bidang utama.

“Paling penting, kita berjaya mencapai perjanjian ini tanpa berkompromi terhadap garisan merah kita dalam bidang-bidang utama,” katanya dalam ucaptama beliau di majlis The Edge Malaysia Centurion Club Awards 2025 di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata garisan merah itu merangkumi had-had ekuiti asing dalam sektor strategik, perlindungan undang-undang dalam syarikat digital, piawaian halal dan pelbagai bidang lain.

Tetapi, perkara utama ialah pakej rundingan itu merupakan tawaran menyeluruh negara — bukan hanya daripada pihak kerajaan, tetapi melibatkan semua pihak — banyak syarikat yang turut menyumbang kepada usaha berkenaan, tambahnya.

Dengan perjanjian tarif yang telah berkuat kuasa itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, bermula dengan program jangkauan bagi menyokong pemain industri dan pengeksport.

“Ada antara anda di dalam dewan ini mungkin terkesan, namun sekali lagi kita akan melibatkan keseluruhan ekosistem pengeksport — bukan hanya syarikat multinasional, tetapi juga semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyokong pengeksport utama,” katanya.

Beliau berkata perkara kedua ialah kerajaan berhasrat untuk mempercepatkan pembaharuan industri dengan mengurangkan kerenah birokrasi serta menyemak semula peraturan bagi menghapuskan pertindihan, peruntukan yang lapuk dan proses yang tidak relevan.

“Yang ketiga, kita perlu memperkukuh daya tahan rantaian bekalan kita dengan memperkasakan peranan industri tertentu dalam rantaian bekalan global,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sedang mencapai kemajuan yang baik dalam projek pemetaan rantaian bekalan, yang bertujuan untuk mengenal pasti setiap pemain yang terlibat dalam aktiviti ekonomi bagi sektor-sektor industri utama.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata syarikat-syarikat peringkat pertengahan Malaysia — yang ditakrifkan sebagai syarikat tersenarai dengan permodalan pasaran antara RM100 juta hingga RM1 bilion — kekal penting kepada aspirasi pertumbuhan negara di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Bagi saya dan kementerian, anugerah seperti Centurion ini dilihat sebagai salah satu sumbangan sektor swasta kepada perjalanan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, mampan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

— BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan