Oleh Ammar Shafiq Hamzah
KUCHING, 5 Ogos (Bernama) -- Keluasan tanah yang sebahagian besarnya masih belum diterokai, sumber air semula jadi melalui jaringan sungai serta taburan hujan sekata sepanjang tahun menjadikan Sarawak lokasi berpotensi tinggi untuk pertanian berskala besar.
Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) Prof Dr Shahrul Razid Sarbini berkata faktor itu meletakkan negeri berkenaan di kedudukan baik untuk membangunkan pertanian berskala besar berbanding negeri-negeri lain.
Beliau berkata sokongan polisi serta agenda daripada kerajaan negeri melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang meletakkan pertanian dan sekuriti makanan sebagai satu daripada tonggak utama juga mampu menjayakan inisiatif berkenaan.
“Sarawak juga berada di lokasi strategik di Borneo. Ini membolehkan produk dan hasil pertanian dieksport terus ke Brunei dan Kalimantan di Indonesia,” katanya kepada Bernama.
Melalui RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lepas, Kerajaan Persekutuan bercadang membangunkan pertanian berskala besar di Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Usaha itu diambil bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber makanan import yang masih tinggi.
Mengulas mengenai tanaman sesuai mengikut kawasan-kawasan di Sarawak, Shahrul Razid berkata Lundu, Simanggang serta Gedong sesuai untuk tanaman padi, manakala Kuching, Samarahan serta Sarikei sesuai untuk tanaman lada.
“Saya juga lihat kawasan di Sebuyau, Simunjan dan Tanjung Manis sesuai untuk tanaman jagung, kelapa dan nanas. Di Limbang dan Lawas pula sesuai untuk ternakan ruminan seperti kerbau dan produk tenusu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata antara cabaran utama dalam pelaksanaan projek pertanian berskala besar di Sarawak adalah isu kekurangan tenaga kerja serta infrastruktur seperti kemudahan pemprosesan produk pertanian yang masih terhad.
Beliau berkata cabaran logistik seperti akses ke kawasan pedalaman juga akan menyukarkan pergerakan produk pertanian ke kawasan tertentu.
“Selain itu, penggunaan teknologi di Sarawak juga belum meluas. Sebahagian besar aktiviti pertanian dilaksanakan oleh pekebun kecil iaitu perusahaan keluarga dan turun-temurun yang masih mengamalkan penanaman secara tradisional serta kurang produktif… aktiviti mekanisasi dan digitalisasi pertanian buat masa ini masih terlalu rendah,” katanya.
Mengulas mengenai peranan UPMS dalam menyokong usaha pertanian berskala besar di Sarawak, beliau berkata selain menawarkan program pendidikan tinggi, universiti itu juga bertanggungjawab melaksanakan penyelidikan, mengaplikasikan dan memindahkan ilmu pengetahuan pertanian kepada industri serta masyarakat.
“Dari segi penyelidikan, pelbagai inisiatif yang kami lakukan termasuk penambahbaikan baka tumbuhan serta ternakan dan teknologi pertanian tepat untuk peningkatan produktiviti pertanian secara lestari.
“Kami juga ada latihan dan pemindahan teknologi kepada petani, usahawan belia dan komuniti melalui kursus jangka pendek. Selain itu, kami juga laksanakan khidmat nasihat teknikal terutamanya dalam pengurusan tanaman, kesuburan tanah dan kawalan penyakit,” katanya.
-- BERNAMA