EKONOMI

MITI PASTIKAN PERUNTUKAN RMK13 RM227 BILION DIMANFAAT SEPENUHNYA BAGI PERUBAHAN EKONOMI

05/08/2025 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memastikan setiap dasar ekonomi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di bawah seliaannya akan dilaksanakan sebaik mungkin, kata menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata dalam satu kenyataan hari ini, ia bagi memacu pertumbuhan Malaysia yang mampan serta terangkum dan akan memperkukuh tadbir urus Kerajaan, meningkatkan kualiti hidup rakyat selain membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Melalui inisiatif ini, MITI beriltizam memacu pelaksanaan dasar strategik bagi memastikan aspirasi RMK13 tercapai, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pemacu potensi global,” katanya.

Beliau berkata, dari segi pelaksanaan, MITI mengalu-alukan mekanisme pemantauan RMK13 yang dipertingkat melalui Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD).

“Bagi MITI, pelaksanaan sememangnya diutamakan melalui pelbagai usaha seperti Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia bagi memudahkan perjalanan pelabur dan Unit Pemantauan Pelaksanaan bagi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“MITI juga melaporkan tahap kemajuan dan keberhasilan projek secara konsisten melalui Kad Laporan MITI yang dibentangkan kepada media setiap tiga bulan,” katanya.

Sebagai kementerian utama yang menerajui bidang pelaburan, perdagangan dan industri, MITI menyambut baik peruntukan sebanyak RM611 bilion untuk RMK13 dengan RM227 bilion disalurkan kepada sektor ekonomi.

“MITI juga berpandangan positif terhadap komitmen kerajaan untuk meneruskan Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) di bawah NIMP 2030 bagi menyokong pelaburan dalam sektor bernilai tinggi,” katanya.

MITI berkata, pelaksanaan RMK13 akan disokong menerusi dasar strategik utama di bawah MITI termasuk NIMP 2030, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), Strategi Pelaburan Hijau (GIS) dan Rangka Kerja Industri Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Kebangsaan (i-ESG).

Secara khusus, MITI berkata, pihaknya akan mempergiatkan usaha untuk melonjakkan pertumbuhan sektor pertumbuhan tinggi bernilai tinggi (HGHV) melalui pelaksanaan NIMP 2030 dan NSS.

“Inisiatif utama termasuklah meletakkan Malaysia sebagai hab semikonduktor berteknologi tinggi dengan sasaran nilai eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) mencapai RM1.0 trilion menjelang 2030,” katanya.

MITI juga akan menggiatkan pembangunan taman perindustrian halal yang bakal menyumbang kepada peningkatan sasaran eksport halal negara sebanyak RM80 bilion menjelang 2030.

Bagi tempoh Januari–Jun 2025 sahaja, nilai eksport halal Malaysia mencecah RM33.32 bilion.

Selain itu, MITI berkata, pihaknya akan memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab serantau yang berdaya saing dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan bakat bagi merealisasikan aspirasi ‘Made by Malaysia’.

MITI juga akan menggiatkan pelaksanaan agenda pertumbuhan mampan negara melalui GIS yang menggariskan tujuh bidang keutamaan termasuk tenaga boleh baharu dan ekonomi kitaran untuk meningkatkan daya saing pelaburan dan mencapai sasaran pelepasan karbon negara.

MITI berkata, daya saing global negara terus dipertingkatkan melalui kedudukan Malaysia dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2025 yang melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23.

“MITI beriltizam untuk memastikan negara terus berada di landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran RMK13 bagi berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia menjelang 2033,” katanya.

Menurut kementerian itu, Rangka Tindakan Perdagangan Nasional 2.0 yang akan diperkenalkan akan memastikan dasar dan strategi perdagangan dilaksanakan dengan berkesan.

“MITI akan terus menggalakkan pemain industri dan pengeksport untuk memanfaatkan 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada termasuk Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan