SUKAN

NAIB JUARA MLBB, PENCAPAIAN SRG.OG TETAP MEMBANGGAKAN - HANNAH

05/08/2025 08:22 PM

SHAH ALAM, 5 Ogos (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyifatkan pencapaian pasukan Selangor Red Giants (SRG.OG) tetap membanggakan meskipun gagal mempertahankan kejuaraan Mobile Legend Bang-Bang (MLBB) Piala Pertengahan Musim (MSC) baru-baru ini.

Beliau berkata kejayaan pasukan tersebut layak ke final pertandingan itu suatu pencapaian yang dibanggakan. 

“Saya rasa nombor dua (tempat kedua) tidak gagal. Pencapaian yang bagus. Hadiah juga agak lumayan. 

“Jadi saya nak ucapkan syabas kepada pasukan SRG.OG kerana mampu ke final,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) di sini, hari ini.

Sebelum ini, hasrat SRG.OG untuk mempertahankan kejuaraan MLBB MSC tidak kesampaian apabila terpaksa tunduk 1-4 kepada wakil Filipina Team Liquid PH (TLPH) pada aksi final utama di Riyadh, Arab Saudi, Selasa lepas. 

Selaku juara TLPH membawa pulang hadiah tunai USD 1 juta manakala naib juara SRG.OG meraih USD 500,000.

Sementara itu, tempat ketiga bagi kejohanan MSC turut dimenangi wakil Filipina ONIC PH yang menumpaskan pasukan Indonesia ONIC ID 3-2 pada aksi penentuan.  

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan