KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Sidang Kemuncak Kerjasama dan Pembangunan Teknologi ASEAN 2025 menyasarkan untuk meraih lebih RM200 juta menerusi perjanjian inovasi dan pelaburan dalam acara dua hari yang berlangsung pada 25 hingga 26 November ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Ketua Pegawai Eksekutif Intrinsic SEA Ravenna Chen berkata lebih 100 syarikat, lebih 50 pelabur global dan 2,000 inovator serta pemimpin ekosistem dari ASEAN China, Kanada, Eropah dan rantau lain dijangka menghadiri sidang kemuncak berkenaan.
"Kami merancang untuk membawa masuk lebih 50 pelabur global merangkumi lima syarikat pemula dan lima syarikat yang sedang berkembang ke acara ini. Selain itu, empat platform inovasi korporat utama akan dilacarkan oleh syarikat yang sedang giat mencari penyelesaian inovatif.
"Dana pengurusan kami kini berjumlah 200 juta dolar Kanada dan menyasarkan untuk memanfaatkan rangkaian pelabur dari Kanada, Jepun dan China bagi memperluas pelaburan ke Asia Selatan,” katanya kepada media semasa pelancaran awal dan pratonton media sidang kemuncak itu di sini hari ini.
Pelancaran awal itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal.
Sidang kemuncak anjuran Intrinsic SEA itu merupakan forum utama yang diadakan seiring dengan WE2025: Future in Motion, iaitu program selama tiga hari dari 25 hingga 27 November 2025 yang dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.
‘WE’ merujuk kepada lima komponen utama, iaitu Ekonomi Wanita, Pemerkasaan Wanita, Keusahawanan Wanita, Kecemerlangan Wanita dan Evolusi Wanita.
Sidang kemuncak ini akan memberi tumpuan kepada lima teras strategik, iaitu mobiliti masa depan dan pengangkutan pintar, penjagaan kesihatan masa depan dan perubatan digital, pengguna masa depan dan perdagangan digital, bangunan masa depan dan tindak balas kecemasan keselamatan serta pekerjaan masa depan dan keusahawanan.
Antara pengisian sidang kemuncak itu adalah sesi meja bulat bersama menteri dan industri mengenai inovasi strategik, pameran teknologi generasi akan datang yang mengetengahkan lebih 100 penyelesaian hadapan, serta sesi tumpuan terhadap bandar masa depan ASEAN dan peluang pelaburan.
Dengan jangkaan lebih 50,000 penonton siaran langsung, sidang kemuncak ini dijangka memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai pemacu utama kerjasama sains, teknologi dan inovasi serantau.
Dalam ucaptamanya, Mohammad Yusof berkata sidang kemuncak itu mencerminkan aspirasi Malaysia untuk menerajui inovasi serantau, menjalin kerjasama strategik, memperkasa teknologi baharu dan pertumbuhan inklusif.
“Ia menyokong misi kementerian untuk mengubah Malaysia daripada sebuah negara pengguna teknologi kepada pembangun teknologi global dengan keupayaan menembusi pasaran antarabangsa menjelang 2030,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia Richard Teo berkata WE2025 memperjuangkan pertumbuhan ekonomi inklusif dengan memperkasa wanita dalam perdagangan, pelaburan dan kepimpinan.
"Walaupun sidang kemuncak ini terbuka kepada semua peserta, ia tetap membawa semangat tersebut dalam memastikan wanita diberi peluang bermakna untuk menerajui inovasi teknologi, satu sektor yang amat memerlukan penyertaan inklusif," katanya.
-- BERNAMA