Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 6 Ogos (Bernama) -- Semangat gemilang pawagam Myanmar pada 1920 masih bergema di Yangon sehingga hari ini.
Pada Jun lalu, ketika hujan lebat membanjiri jalan-jalan di Yangon, pawagam tetap memutarkan tayangan perdana filem Mingala Pwe (The Wedding) dan Just a Bazaar Seller, But So Haughty.
Filem Two Nights and Three Days dan The Boat pula dijadualkan untuk tayangan pada Ogos.
Filem komedi dan romantik ini bukan sekadar menawarkan hiburan semata-mata - ia menjadi bukti ketahanan industri perfileman Myanmar yang terus menyesuaikan diri dan berkembang biarpun berdepan pelbagai cabaran.
“Penonton Myanmar lebih gemar ke pawagam untuk menonton atau mengisi masa lapang berbanding negara Asia Tenggara lain, meskipun kini dalam era digital.
“Mungkin kerana kurangnya aktiviti atau pameran untuk dinikmati rakyat. Majoriti penonton juga terdiri daripada penduduk luar bandar, dan hiburan utama mereka hanyalah ke pawagam di kawasan masing-masing,” kata pengarah siri televisyen berpangkalan di Yangon, Min Thant Maung Maung kepada Bernama.
Beliau ialah anak kepada pengarah terkenal Zin Yaw Maung Maung dan pelakon May Than Nu.
Layar perak yang terus berkelip ini, membawa kegembiraan kepada sebuah negara yang telah melalui pelbagai dugaan dalam sejarahnya - bencana alam, pemerintahan diktator tentera dan kesukaran ekonomi.
Pawagam telah bertahan sepanjang detik-detik paling mencabar dalam sejarah kompleks Myanmar, termasuk era penjajahan British, sosialisme pada 1960-an hingga 1980-an, kerajaan demokratik dan pemerintahan tentera.
Para pembikin filem berdepan penapisan ketat, kekangan teknologi dan cabaran kewangan untuk menghasilkan filem - daripada kisah cinta tiga segi kepada komedi slapstik dan naratif mendebarkan yang terus memikat penonton setia.
“Selepas rampasan kuasa oleh (Jeneral) Ne Win pada 1962, jualan tiket meningkat 40 peratus tujuh tahun kemudian. Secara purata, rakyat Myanmar menonton filem tujuh kali setahun,” kata ahli antropologi Universiti Kebangsaan Australia, Dr Jane M. Ferguson kepada Bernama.
Beliau berkata ketika penapisan ketat pada era sosialis, sebanyak 2,600 filem panjang telah dihasilkan.
“Walaupun mereka mengkritik zaman sosialis sebagai zaman kemiskinan, mereka tetap mempunyai kenangan manis terhadap filem-filem itu.
“Mereka masih ingat pelakon lelaki yang kacak, pelakon wanita yang jelita, watak ibu mentua yang suka campur tangan, dan pelbagai kisah cinta tiga segi yang boleh dibayangkan.
“Jalan cerita seperti itu sesuai dengan suasana ketika itu bagi penonton tempatan,” kata Ferguson, pengarang Silver Screens and Golden Dreams: A Social History of Burmese Cinema yang diterbitkan tahun lalu.
Perjalanan filem di Myanmar, yang dahulunya dikenali sebagai Burma, bermula pada 1920 dengan tayangan filem senyap hitam putih pertama, Metta Hnint Thura (Love and Liquor).
Keindahan Myanmar - dengan 135 kumpulan etnik yang pelbagai, makanan, perayaan, pantai, muzik dan filem - sering tenggelam akibat pergolakan politik dan bencana alam, dan jarang mendapat perhatian antarabangsa.
Namun, pawagam kekal sebagai teras hiburan negara itu, dengan purata kira-kira 150 filem diterbitkan setiap tahun.
Kini, kira-kira 150 panggung wayang masih bertahan biarpun dalam suasana suram. Gangguan bekalan elektrik, penapisan dan isu keselamatan tidak menghalang filem tempatan daripada menarik penonton.
Meskipun memiliki sejarah dan ketahanan yang membanggakan serta bakat besar dalam kalangan pembikin filem dan pelakon, industri ini tetap gagal mencipta nama di pentas antarabangsa.
Ketua pengarang Popular Journal yang berpangkalan di Yangon, Khing My, memberitahu Bernama bahawa perfileman Myanmar sukar berkembang kerana kekangan kewangan dan sekatan tayangan.
“Pasaran filem Myanmar masih belum rancak. Komuniti antarabangsa juga tidak berminat terhadap pasaran filem Myanmar. Ini sebabnya filem Myanmar gagal menembusi pasaran antarabangsa.
“Kerajaan terdahulu telah cuba memperkenalkan sari kata untuk tayangan antarabangsa, tetapi masih gagal,” katanya.
Sementara itu, Ferguson berpandangan bahawa pembikin filem Myanmar masa kini memiliki bakat besar dalam menyampaikan naratif yang mencerminkan realiti sosial dan politik negara itu.
“Saya tetap percaya bahawa pembikin filem menghasilkan karya yang wajar ditonton, dan mereka patut mendapat perhatian antarabangsa. Saya rasa adalah tanggungjawab etika penonton antarabangsa untuk mengambil peduli terhadap karya filem dari negara kecil atau kurang terkenal, bukan hanya karya dari negara berkuasa ekonomi,” katanya.
-- BERNAMA