EKONOMI

YINSON SELESAI PEMBELIAN PINJAMAN FPSO ATLANTA DARIPADA BRAVA BERJUMLAH US$257.4 JUTA

06/08/2025 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Unit Yinson Holdings Bhd, iaitu Yinson Production telah menyelesaikan pembelian pinjaman projek berkaitan dengan kapal terapung pengeluaran penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) ‘Atlanta’ dari Brava Energia S.A untuk jumlah pertimbangan tunai kira-kira US$257.4 juta, termasuk faedah terakru.

Dalam satu kenyataan, penyedia global bagi kapal FPSO itu berkata pada waktu siap, jumlah pokok tertunggak di bawah pinjaman projek berada pada kira-kira US$408.8 juta, yang dibayar oleh syarikat pada jumlah pertimbangan tunai kira-kira US$255.5 juta, termasuk kira-kira US$1.9 juta faedah terakru.

“Urus niaga itu dibiayai dengan tunai dalam tangan, dan syarikat dijangka meningkatkan pembiayaan hutang baharu bagi FPSO pada masa akan datang,” katanya.

Yinson Production berkata syarikat itu memperoleh FPSO Atlanta daripada Brava menerusi pelaksanaan pilihan pembelian pada 2023, yang sebahagiannya dibiayai menerusi pinjaman projek disediakan oleh Brava.

“FPSO ketika ini beroperasi di bawah kontrak 15 tahun, dengan pilihan lanjutan lima tahun, dengan Brava, dan menerima minyak pertama pada 31 Dis, 2024. Baki kontrak bernilai kira-kira US$2 bilion,” kata syarikat itu.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan