EKONOMI

AZAM JAYA RAIH KONTRAK RM120.9 JUTA NAIK TARAF LAPANGAN TERBANG TAWAU

06/08/2025 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Azam Jaya Bhd yang mengkhusus dalam projek infrastruktur jalan raya utama di Sabah memperoleh kontrak bernilai RM120.9 juta daripada Kementerian Pengangkutan melalui anak syarikat milik penuhnya Pembinaan Azam Jaya Sdn Bhd bagi kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Tawau, Sabah.

Azam Jaya dalam kenyataan hari ini berkata, mengikut surat setuju terima, syarikat itu akan melaksanakan projek secara reka bentuk dan bina, termasuk kerja-kerja awal, reka bentuk, pembinaan bangunan terminal dan kerja-kerja berkaitan.

Kontrak selama tiga tahun itu akan bermula 22 Ogos 2025 dan dijangka siap pada 17 Ogos 2028.

Menurut syarikat itu, penaiktarafan yang sedang dilaksanakan adalah tepat pada masanya dalam keadaan peningkatan trafik penumpang yang ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Penambahbaikan berkenaan dijangka meningkatkan keselesaan dan pengalaman pengembara dan pada masa sama menyokong pertumbuhan pelancongan dan pembangunan ekonomi di rantau ini.

“Kontrak terbaru itu akan mengukuhkan lagi nilai perolehan kontrak yang belum dibayar penuh Azam Jaya sebanyak RM1.42 bilion pada 31 Mac 2025, menyediakan pendapatan yang baik dan kebolehlihatan aliran tunai sehingga 2028,” katanya.

Pengarah Eksekutifnya Datuk Jessica Lo berkata penaiktarafan taraf Lapangan Terbang Tawau bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan serantau, malah turut membantu menampung permintaan yang semakin meningkat dalam perjalanan antarabangsa ke pantai timur Sabah.

“Kontrak ini adalah penambahan yang bermakna dalam portfolio projek kami dan mengukuhkan kepercayaan yang diberikan terhadap kemampuan kami untuk melaksanakan pembangunan berskala besar.

“Ia juga melengkapkan penglibatan kami yang sedang dilaksanakan dalam Lebuhraya Pan Borneo dan seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan kami di seluruh Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan