KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Ketua Hakim Negara baharu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mampu menggalas amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepada beliau dengan penuh hikmah dan bijaksana demi Malaysia yang lebih adil serta maju.
Perdana Menteri, yang menerima kunjungan hormat Wan Ahmad Farid di pejabatnya hari ini, berkata dalam pertemuan itu, perbincangan mereka menyentuh mengenai kepentingan memperkukuh institusi kehakiman yang bebas dan berintegriti.
Perbincangan turut menjurus kepada usaha memperkukuh institusi itu agar diyakini rakyat sebagai tiang seri kepada negara hukum yang adil dan saksama, kata Anwar yang turut mengucapkan tahniah kepada Wan Ahmad Farid dalam hantaran di Facebook.
Wan Ahmad Farid, 62, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lepas.
Menerusi ucapan pertama sebagai Ketua Hakim Negara hari ini, Wan Ahmad Farid berikrar untuk melindungi dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
Beliau turut berikar untuk memberikan sepenuh komitmen ke arah penambahbaikan institusi itu dan mempertahankan kebebasannya.
-- BERNAMA