AM

BERNAMA JOHOR MENANG ANUGERAH KHAS NAIB CANSELOR DI MAJLIS LEGASI MEDIA UTM 2025

06/08/2025 10:42 PM

SENAI, 6 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Johor melakar kejayaan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Naib Canselor sempena Majlis Legasi Media Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2025 di sini malam ini.

Anugerah itu diberikan sebagai menghargai komitmen berterusan agensi berita itu dalam menyampaikan laporan berkualiti tinggi yang menonjolkan kepakaran, pencapaian dan inisiatif UTM kepada khalayak nasional serta antarabangsa.

Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim menyampaikan anugerah berkenaan kepada Ketua Biro Bernama Johor Hasnah Jusid dalam majlis yang turut dihadiri lebih 50 pengamal media, pegawai Kementerian Pendidikan Tinggi serta warga akademik universiti berkenaan.

Dr Mohd Shafry berkata penghargaan itu mencerminkan hubungan strategik antara UTM dan media yang telah memainkan peranan penting dalam memperluas capaian ilmu serta melonjakkan reputasi institusi pengajian tinggi itu.

“Kita percaya di UTM, inilah medan untuk kita berkongsi cerita dan ilmu kepada masyarakat bagi melonjakkan lagi indeks inovasi dan ekonomi negara,” katanya dalam ucapan perasmian.

Dalam majlis sama, wartawan sambilan Bernama Nur Fatin Mohmad Kadenen, 31, turut memenangi Anugerah Liputan Terbaik (Sains Sosial) bagi kategori media cetak dan portal berita.

Anugerah itu mengiktiraf hasil penulisan beliau bertajuk "Program Bangsa Johor Bahagia (BJB) Diilham Agong, Raja Permaisuri Tingkat Kualiti Hidup Penghuni Rumah Pangsa" yang disiarkan di platform media arus perdana, sekali gus menonjolkan sumbangan universiti tersebut kepada masyarakat menerusi inisiatif berimpak tinggi.

Bagi Nur Fatin, penghargaan itu bukan sekadar pencapaian peribadi malah simbol kepercayaan terhadap peranan wartawan sambilan yang sering bekerja di sebalik tabir liputan.

“Saya tidak menyangka usaha ini diiktiraf sebegini. Sebagai wartawan sambilan, kami mungkin tidak selalu di hadapan, tetapi kami tetap berusaha memastikan suara rakyat dan kisah-kisah penting terus disampaikan,” katanya.

Majlis anjuran UTM itu diadakan bagi menghargai kerjasama media dalam memperluas jangkauan maklumat serta memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan organisasi berita.

Turut hadir Presiden Kelab Media Johor (KMJ) Fauzi Ishak, Timbalan Presiden (KMJ) Raja Jaafar Raja Ali serta ketua-ketua biro media. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan