EKONOMI

MAH SING BELI TAPAK CORUS HOTEL DENGAN HARGA RM260 JUTA

07/08/2025 07:46 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- MUI Group dan Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) memeterai perjanjian strategik yang menyaksikan MUI Group melupuskan tanah pegangan kekalnya seluas 600.96 hektar di tengah-tengah kawasan KLCC kepada Mah Sing pada nilai RM260 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, kedua-dua pihak menyatakan bahawa tanah tersebut akan dimajukan semula sebagai projek pangsapuri berperkhidmatan pegangan kekal, dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan sebanyak RM1.28 bilion.

Setiap unit kediaman dalam projek tersebut akan ditawarkan pada harga indikatif bermula daripada RM898,000.  

Tanah yang terletak di Jalan Ampang itu yang kini menempatkan Corus Hotel akan dimajukan semula sebagai sebahagian daripada misi pembaharuan semula bandar oleh Mah Sing.

“Kami melihat peluang ini sebagai langkah penting untuk menyumbang secara bermakna kepada evolusi bandar Kuala Lumpur, bukan sahaja melalui penyediaan kediaman berkualiti tinggi, tetapi juga melalui kesan penggandaan ekonomi yang dibawa oleh pembangunan bersepadu dan dinamik,” kata Pengasas merangkap Pengarah Urusan Mah Sing Group Tan Sri Leong Hoy Kum.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MUI Group Andrew Khoo berkata pelupusan hartanah ini adalah sebahagian daripada strategi rasionalisasi kumpulan.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan