Oleh Nur Fadhliana Shaari
JOHOR BAHRU, 8 Ogos (Bernama) -- Tatkala Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang digerakkan di seluruh negara bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan, seorang warga emas di sini tampil dengan semangat luar biasa apabila menghiasi rumah dan kenderaannya dengan lebih 3,000 helai Jalur Gemilang pelbagai saiz, sebagai tanda cinta akan tanah air yang tidak berbelah bahagi.
M. Kandapan, 65, berkata inisiatif itu bukan perkara baharu baginya, malah telah menjadi amalan sejak 25 tahun lepas, sebagai simbol kesyukuran kerana dapat hidup dalam negara yang aman, harmoni dan merdeka.
“Tahun ini saya tukar semua Jalur Gemilang kira-kira 3,000 helai dengan yang baharu yang dibeli dalam talian dan mula menghiasi rumah dan kereta sejak bulan lepas. Saya lakukannya dengan bantuan ahli keluarga.
“Hingga akhir hayat, saya akan terus kibar Jalur Gemilang, inilah janji saya sebagai tanda cinta akan tanah air,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Bandar Seri Alam, Masai, di sini baru-baru ini.
Bapa kepada tiga anak itu tidak pernah berasa jemu atau bosan, malah setiap kali melihat Jalur Gemilang berkibar megah di halaman rumah atau pada kenderaan, timbul rasa puas dan bangga yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
"Setiap insan punya cara tersendiri untuk menzahirkan kecintaan terhadap negara, dan inilah cara saya. Mungkin ada yang anggap perkara ini kecil dan remeh, tetapi tidak bagi saya.
"Inilah perjuangan kecil saya, meskipun saya berhabis semata-mata untuk menghiasi rumah dan kereta dengan Jalur Gemilang, tetapi ia tidak terbanding dengan perjuangan tokoh-tokoh terdahulu yang menuntut kemerdekaan,” katanya.
Kandapan berkata keunikan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya ialah kekuatan sebenar dan ciri istimewa negara ini dan kebersamaan yang terjalin antara rakyat menjadikan Malaysia sebuah negara yang tidak ternilai di mata dunia serta wajar dizahirkan kepada seluruh dunia.
“Malaysia mahal harganya … dan kita semua bertanggungjawab untuk memelihara warisan ini. Saya mahu anak cucu saya menyaksikan semangat ini dan mereka tidak lupa untuk menyemai rasa cinta akan negara, menghargai keamanan dan memahami erti sebenar kemerdekaan,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut menyeru orang ramai agar menyahut Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai lambang semangat anak merdeka selain menghormati Jalur Gemilang dengan tidak memasang bendera yang koyak, lusuh atau terbalik.
“Jalur Gemilang bukan sekadar kain, tetapi lambang maruah negara. Jangan pasang Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik atau koyak rabak. Tindakan itu seolah-olah kita tidak menghargai kemerdekaan yang telah diperjuangkan.
“Jangan jadi kacang lupakan kulit. Hormatilah bendera kita sebagaimana kita menghormati negara ini,” katanya tegas.
-- BERNAMA