SINGAPURA, 8 Ogos (Bernama) -- Firma hospitaliti yang beribu pejabat di Singapura, The Ascott Ltd dilantik oleh Coronade Properties Sdn Bhd untuk menguruskan komponen hotel di pembangunan bersepadu Coronation Square di Johor Bahru.
Ketua Pegawai Eksekutif Ascott Kevin Goh berkata sebagai perkongsian hospitaliti utama pertama di bawah rangka kerja Zon Ekonomi Khas Johor Singapura (JS-SEZ) projek itu mencerminkan momentum yang semakin meningkat dalam kerjasama rentas sempadan dan keyakinan Ascott terhadap prospek jangka panjang rantau ini.
"Hotel ini merupakan penampilan sulung jenama Ascott di Johor Bahru dan hartanah berjenama Ascott keenam kami di Malaysia.
“Dengan lebih 1,000 hartanah di seluruh dunia, projek ini terus menunjukkan trajektori pertumbuhan kami yang mampan dan kekuatan perkongsian kami merentas pasaran strategik," katanya dalam ucapan alu-aluan beliau pada majlis permeteraian perjanjian pengurusan hotel itu, di sini, hari ini.
Lima lagi hartanah berjenama Ascott terletak di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Ketua pegawai pembangunan Ascott Serena Lim dan pengarah perhubungan korporat Coronade Properties Datin Paduka Alinah Ahmad menandatangani perjanjian tersebut yang disaksikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara) Singapura Alvin Tan.
Ascott Coronation Square Johor Bahru dengan 207 bilik di Menara 1 Coronation Square itu terletak secara strategik di Daerah Perniagaan Antarabangsa Ibrahim (IIBD) di JS-SEZ dan dijadualkan dibuka pada separuh kedua 2029.
Hotel lima bintang itu juga akan disambungkan terus ke Pautan Sistem Transit Rapid (RTS) yang bakal dibangunkan, menghubungkan Bukit Chagar Johor dengan Woodlands North Singapura.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata perkongsian tersebut bukan sahaja akan membawa jenama terkenal dunia ke Johor dan meningkatkan profil antarabangsanya, tetapi juga menjana peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.
"Kehadiran Ascott di Coronation Square menandakan titik perubahan bagi landskap hospitaliti Johor. Ia juga membuka peluang kepada rakyat Johor bukan sahaja dari segi pekerjaan, tetapi juga dalam pendedahan, pembinaan keupayaan dan kecemerlangan industri," katanya.
Menurutnya, projek seperti Coronation Square menarik pelabur antarabangsa, pelancong dan bakat yang kesemuanya akan menjadikan ekonomi Johor lebih pelbagai dan berdaya tahan.
Onn Hafiz berkata apabila siap kelak Coronation Square yang sedang dalam proses pembangunan itu akan mengubah Johor Bahru menjadi sebuah bandar raya metropolis dan hab kewangan yang baharu.
Coronation Square yang dilancarkan pada 2015 adalah projek bersepadu bernilai RM5 bilion yang merupakan inisiatif pertama untuk memulakan IIBD seluas 250 ekar (101.17 hektar).
Sementara itu, Tan berkata JS-SEZ adalah inisiatif pelengkap yang saling memberi manfaat kepada Singapura dan Johor dan menyifatkan ia sebagai pembangunan penting yang meningkatkan nilai rantau ini sebagai lokasi boleh dilabur untuk pelabur di luar ASEAN.
“Ia adalah kekuatan Singapura sebagai hab global dalam penyelidikan dan pembangunan serta kewangan, digabungkan dengan kumpulan bakat dan sumber Johor yang semakin berkembang,” katanya.
-- BERNAMA